Allah menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk hamba-hamba-Nya sentiasa berlumba-lumba melakukan kebajikan .Kerana banyak kelebihan dan keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan Ramadan yang perlu direbut oleh hamba-Nya. Hari-hari yang berlalu sepanjang bulan Ramadan adalah peluang keemasan yang berharga yang pasti tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja oleh mereka yang mengetahui kelebihan bulan Ramadan.
Antara kelebihan bulan Ramadan ialah tawaran keampunan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beribadah pada bulan yang mulia ini. Kerana daripada Allah dosa-dosa Mereka terampun.
Rasulullah SAW berabda ;
"أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرُ بَرَكَةٍ يَغْشَاكُمُ اللهُ فِيهِ، فَيُنْزِلُ الرَّحْمَةَ وَيَحُطُّ الْخَطَايَا وَيَسْتَجِيْبُ فِيهِ الدُّعَاءَ يَنْظُرُ اللهُ تَعَالىَ اِلَى تَنَافُسِكُمْ فِيهِ وَيُبَاهِىْ ِبكُمْ مَلاَئِكَتُهُ فَأَرُوا اللهَ مِنْ أَنْفُسِكُمْ خَيرًا فَإِنَّ الشَّقِيَّ مَنْ حُرِّمَ ِفيهِ رَحْمَةُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ."
Maksudnya : "Apabila tibanya Ramadan bulan keberkatan maka Allah melindungi kamu pada bulan tersebut, ia menurunkan rahmat-Nya, mengampunkan segala dosa dan memperkenankan doa. Pada bulan ini Allah melihat perlumbaan kamu melakukan ibadah dan para malaikat sangat berbangga melihat ibadah yang kamu lakukan. Maka tunjukkanlah kepada Allah segala kebaikan yang kamu lakukan kerana sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang diharamkan mendapat rahmat Allah pada bulan tersebut." Hadis riwayat At-Tabrani
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud : " Setiap yang mendirikan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah maka diampunkan bagi-nya dosa-dosa yang telah lalu."
Para ulama di dalam menghuraikan maksud Hadis tersebut menerangkan bahawa sesiapa yang menghidukan atau menghayati malam-malam bulan Ramadan dengan melakukan solat tarawih dan ibadah-ibadah lain seperti berzikir dan istighfar serta membaca al-Quran dengan ikhlas kerana Allah, maka Allah akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu melainkan dosa-dosanya yang berkaitan dengan manusia yang perlu terlebih dahulu diselesaikan sesama manusia.
Di antara satu Ramadhan dengan Ramadhan yang berikutnya akan terjamin mendapat keampunan daripada Allah selagi hamba-hamba Allah tetap setia dan taat beribadah kepadanya dan tidak melakukan dosa-dosa besar.
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:
"الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمعَةُ اِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانَ اِلىَ رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَائرُ."
Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadhan kepada Ramadhan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selagi mana dijauhi dosa-dosa besar."
Bersempena dengan bulan Ramadan ini, marilah kita sama-sama memanfaatkan sebaik mungkin dengan melipat gandakan amalan soleh dan amalan-amalan sunat yang lain dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadah kepada Allah SWT di antaranya:
1. Kita hendaklah berusaha mendapatkan keampunan Allah pada bulan yang mulia ini kerana amalan yang dilakukan di sepanjang bulan yang mulia ini pasti akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah.
2. Berlumba-lumba melakukan kebaikan melalui amal ibadah yang berterusan adalah langkah yang mulia dan bijak. Sesungguhnya jika amalan mulia ini dilakukan, nescaya akan mendapat keampunan di dunia dan di akhirat.
Tiada ruginya jika kita memberikan masa yang lebih kepada Allah kerana kelak nescaya kita tidak mudah untuk dilupakan. Wallahualam