16 Ogos 2009

RAMADAN

RAMADAN bakal menjelang lagi. Peluang keemasan ini sewajarnya dimanfaatkan oleh semua umat Islam dengan sebaik-baik mungkin. Malah kita perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup untuk membangkitkan motivasi agar dapat beramal dengan lebih baik.

Justeru, kita perlu memperbaiki azam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Antaranya, kita perlu memperbetul dan memperelokkan niat.

Kita perlu ikhlas bahawa ibadah ini demi Allah SWT semata-mata. Niat yang betul kerana Allah berupaya mendorong kita untuk lebih berusaha memperoleh pelbagai ganjaran.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat dan bagi setiap orang apa yang dia diniatkannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, kita perlu menumpukan kepada usaha mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah dan bukannya berlumba-lumba membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya.

Perkara kedua ialah kita perlu bersedia daripada segi fizikal, mental dan material bagi meraih bonus yang tidak terhingga di bulan Ramadan. Umat Islam disaran menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat berpuasa di siang hari.

Mereka juga perlu bersedia daripada segi mental untuk melawan nafsu tidur, makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa.

Begitu juga seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad bersabda: Barang siapa yang memberi iftar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.

Ketiga, kita perlu berazam untuk tingkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi ibadat puasa. Ini bermakna, kita perlu berazam untuk meningkatkan kualiti puasa. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan.

Keempat, kita perlu berazam untuk diberi peluang beribadat di malam Lailatulqadar. Ia adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang pahala beribadah padanya menyamai 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan. Justeru setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu.

Dan yang kelima, kita perlu sentiasa berharap dan berdoa agar ibadah puasa diterima oleh Allah. Setiap umat Islam perlu menaruh harapan tinggi agar puasanya diterima.

Oleh itu, kita digalakkan memperbanyak amalan sunat seperti bersedekah, tadarus al-Quran, iktikaf di masjid dan sebagainya bagi menampung kecacatan dan kekurangan ketika berpuasa.

Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera mengqada puasa berkenaan. Kegagalan melunaskannya kemungkinan menyebabkan seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan oleh Allah SWT di bulan Ramadan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...