29 April 2011
HISTERIA - GANGGUAN JIN DAN SYAITAN
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Allah Subhanahu Wataala menciptakan pelbagai makhluk seperti Malaikat, jin dan manusia dengan tujuan menyembah dan beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Perlu diketahui bahawa Allah Subhanahu Wataala juga telah menciptakan alam yang lain selain alam dunia seperti alam akhirat dan alam barzakh. Oleh itu, kita sebagai umat Islam adalah wajib beriman kepada perkara-perkara ghaib tersebut kerana ianya adalah termasuk di dalam Rukun Iman yang enam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 3 - 4 tafsirnya:
"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu wahai Muhammad dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan adanya Hari Akhirat dengan sepenuhnya".
Sebagaimana yang kita maklumi, baru-baru ini telah berlaku kejadian histeria di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Histeria menurut Bahasa Arab disebut sebagai 'Ad-Dharra', pada kebiasaannya histeria ini ada kaitannya dengan gangguan makhluk halus. Manakala menurut kamus Nusantara pula mendefinisikan histeria adalah gangguan pada gerak-geri jiwa dan rasa dengan gejala luapan emosi yang sering tidak dapat dikawal (tidak terkendali) seperti tiba-tiba berteriak-teriak, menangis, tertawa, mati rasa, lumpuh dan berjalan dalam keadaan sedang tidur, malah ianya juga disebut sebagai sejenis penyakit urat saraf yang nampak pada cetusan emosi (gangguan pada sistem saraf otak) yang tidak dapat dikawal sama ada terlalu gembira, ketakutan atau kesedihan.
Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menjelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. Kerana itu, kita sering diperingatkan melalui ceramah-ceramah agama, khutbah-khutbah yang disampaikan oleh khatib yang mengingatkan bahawa jin dan syaitan tiada kendur-kendurnya mencari peluang untuk memesongkan dan menyesatkan manusia daripada jalan yang betul, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hijr ayat 39 tafsirnya:
"Iblis berkata: Wahai Tuhanku kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya".
Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga agar jangan sampai perkara kerasukan ini berlaku ke atas diri kita, maka kita perlulah beringat dan berhati-hati supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala semoga dijauhkan dari godaan jin dan syaitan. Di samping itu adalah mustahak juga kita mengetahui punca atau penyebab yang boleh membawa berlakunya histeria. Di antaranya ialah:-
1.Sering lupa kepada Allah Subhanahu Wataala, kurang beramal ibadat, lali dan sebagainya sehingga syaitan dapat memasuki tubuh badan kita.
2.Kurang membaca doa-doa tertentu seperti 'Basmallah' atau 'Taauz' ketika melakukan perkara-perkara yang tertentu atau aktiviti-aktiviti dan sebagainya.
3.Menyukai malah melakukan sifat atau perangai yang disukai oleh syaitan, seperti menurut hawa nafsu, mengabaikan hal-hal halal dan haram, memandang remeh pada perkara-perkara mungkar dan maksiat serta bermacam-macam lagi.
4.Melakukan perbuatan yang bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti permainan-permainan pemujaan roh atau menghadirkan roh, akan tetapi sebenarnya jin atau syaitan yang datang menjelma.
5.Begitu juga dengan sihir, kerana sihir ini sebenarnya adalah perbuatan memanggil syaitan yang bertujuan melibatkan syaitan bersama-sama dalam aktiviti-aktiviti sihir tersebut.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Jin ayat 6 yang tafsirnya:
"Dan bahawa sesungguhnya adalah amat salah perbuatan beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi diri dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat".
Walau bagaimanapun perlu difahami adalah tidak mustahil ada perkara-perkara lain yang boleh menjadi penyebab atau punca histeria itu.
Dalam Al-Quran dan Al-Hadis telah memperingatkan kepada orang-orang yang beriman supaya sentiasa menjauhkan diri dari gangguan jin dan syaitan. Salah satu cara menjauhkan diri daripada gangguan itu ialah dengan cara memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala dengan mengamalkan membaca Al-Quran, berdoa, berzikir dan juga memulakan sesuatu perkara dengan Basmallah dan Taauz sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mu'minuun ayat 97 - 98 tafsirnya:
"Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".
Ingatlah bahawa berlindung daripada syaitan itu maksudnya berlindung daripada segala tipu helah dan pujuk rayu mereka yang mengajak kita ke arah jalan-jalan maksiat dan derhaka kepada Allah Subhanahu Wataala. Ketahuilah dan renungkanlah firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah YaaSiin ayat 60 yang tafsirnya: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!".Oleh itu wahai kaum Muslimin, insaflah dan jauhilah perbuatan mungkar dan maksiat serta kerjakanlah perkara-perkara kebajikan dan hasanah.
Kita sebagai orang Islam yang beriman, hendaklah bersifat sabar, tenang, berikhtiar serta tawakal kepada Allah Subhanahu Wataala apabila menghadapi apa jua musibah. Bukankah di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang mengingatkan kita supaya bersifat sedemikian. Janganlah kita mudah panik dan hilang sabar kerana Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Anfaal ayat 46 yang tafsirnya:
"Dan bersabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar". Dan percayalah setiap penyakit ada ubatnya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abi Daud maksudnya:
"Dari Umi Darda, dari Abi Darda berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan penyembuh (ubat) dan Allah juga menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya".
Sama-samalah kita berdoa, semoga Allah Subhanahu Wataala melindungi kita dari bala bencana dan mendapat ketenangan jiwa serta kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Naas ayat 1 - 6 tafsirnya:
"Katakanlah wahai Muhammad, aku berlindung kepada Allah pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, pengasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia".