05 Julai 2011

Tahniah Warga KPM Jayakan Larian Serentak


Oleh Pendapat Saya

LARIAN peringkat kebangsaan yang diadakan di Padang Dataran Perbandaran Taiping pada 2 Julai lepas mencipta rekod sebagai larian yang terbesar yang disertai oleh murid sekolah.

Sehingga petang 1 Julai lalu, seramai 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah seluruh negara telah mendaftar menyertai larian tersebut.

Angka ini dijangka bertambah selepas keseluruhan penyertaan dikemaskinikan dalam beberapa hari lagi.

Selain penyertaan yang besar daripada keseluruhan murid yang berjumlah kira-kira 5.4 juta orang, sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh warga KPM di semua peringkat patutlah dibanggakan.

Kepada semua sewajarnyalah diucapkan setinggi-tinggi tahniah.

Ini membuktikan dalam keadaan apa pun sesuatu tugasan yang sebegini besar implikasinya akan dapat dilaksanakan tanpa banyak masalah.

Dalam perjalanan pulang ke KL dari Taiping, kesan bahawa sekolah-sekolah di sepanjang jalan ke Ipoh mengadakan larian ini amat ketara.

Sesungguhnya dalam apa pun tugasan di sekolah-sekolah, kepimpinan sekolah amatlah penting.

Kepimpinan yang berkesan akan membolehkan sekolah berfungsi sebagai sebuah institusi yang dapat melahirkan modal insan yang seimbang untuk negara kita pada masa hadapan.

Sukan memberi ruang untuk melahirkan modal insan yang holistik daripada keseluruhan aspek pembangunan murid.

Di Padang Dataran Perbandaran Taiping, pihak penganjur telah menyediakan beberapa gerai yang membolehkan sekolah-sekolah terpilih mempamerkan kejayaan masing-masing.

Salah satu daripadanya ialah gerai SMK (FELDA) Besout, Sungkai, Perak.

Saya tidak menyangka sekolah ini terletak di kawasan FELDA dan telah mencipta nama sebagai sekolah yang cemerlang dalam sukan olahraga.

Sekolah yang mula ditubuhkan pada 9 Januari 1984 telah menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Batang Padang dalam sukan olahraga mulai tahun 2001 sehingga sekarang.

Sekolah tersebut telah melahirkan ramai atlet olahraga yang menjuarai kejohanan peringkat MSSM.

Sebagai contoh pada MSSM 2011 yang lalu, sekolah ini melahirkan atlet Nurul Hidayu Kamaruden dalam acara 100m LP bawah 15 tahun, Mohd. Amir Syahmi 200m bawah 18 tahun, Ira Mastura Mohd. Nor, Qhairul Shafiq Mohamad, Saidatul Izzati Suhaimi dan Mohd. Amiruddin Jamil.

Sekolah ini juga telah melahirkan Siti Maimunah Satar sebagai Olahragawati Sukan Perak 2003 serta mewakili negara di Kejohanan Remaja Asia 2003, Nurul Bayah Mokhtar sebagai Olahragawati Negeri 2008 serta Fatinnur Aqlina Mohd Sapiee sebagai Olahragawati MSSPK 2009 bawah 15 tahun.

Ramai lagi atlet yang terpilih mewakili negeri Perak di peringkat MSSM dan ada yang diserapkan dalam Program Pelapis MSN.

Pencapaian yang ditunjukkan oleh SMK (FELDA) Besout ini sudah tentulah digerakkan oleh barisan kepimpinan dan guru-guru sekolah tersebut walaupun silih berganti sehingga berjaya melahirkan atlet-atlet olahraga yang berjaya.

Sebagai sekolah yang terletak di kawasan FELDA pencapaian ini cukup membanggakan yang meletakkan sekolah-sekolah lain di bandar ketinggalan dalam menjanakan sekolah berkenaan sebagai institusi pendidikan yang berfungsi cemerlang. Syabas dan tahniah.

Utusan Malaysia - 5.7.2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...