14 Julai 2013

Menilai Kualiti Cinta

Perasaan cinta dan kasih sayang adalah hal semulajadi yang Allah SWT bekalkan pada hati setiap insan, baik lelaki atau wanita. Adalah bohong jika kita tidak memiliki perasaan cinta. Adakah cinta yang berputik di hati anda berdua itu cinta yang sihat? Bagaimana menilai kualiti cinta anda?

1. Mencintai kekurangan kekasih.
Biasanya seseorang tertarik kepada kekasih kerana harta benda, wajah yang rupawan, pangkat dan darjat yang tinggi, kepintaran, kebaikan hati dan perangai sopan. Tetapi jika ditakdirkan anda mendapat jodoh lelaki yang biasa-biasa saja, tentu kerana cinta, anda akan menutup mata di atas kelemahannya kerana anda pun bukanlah sesempurna yang diidamkan. Setiap manusia dicipta dengan segala kekurangan untuk membuktikan bahawa Allah Taala sahaja yang Maha Sempurna. Namun jika kekurangannya melibatkan iman dan Islam maka seelok-eloknya anda menjadi orang pertama yang memujuknya untuk berubah.
Perkara terpenting yang harus dimiliki oleh seorang Muslim ialah sembahyang, tahu mana yang halal dan haram, wajib dan sunat, akhlak mahmudah dan mazmumah. Ada lelaki yang suka berterus-terang, ada pula yang cepat terasa hati bila ditegur. Peringkat pertama, sebaiknya anda menasihati dengan cara yang tersirat iaitu menggunakan pendekatan memberi teladan dan contoh yang baik. Dilanjutkan dengan tahap kedua, iaitu diskusi dari hati ke hati, saling menilai satu sama lain untuk memperbaiki diri. Ketiga, ciptakan persekitaran yang sihat. Pendekatan ilmu dan hobi yang bermanfaat boleh diamalkan. Keempat, libatkan orang tengah yang boleh memberi pandangan dan nasihat. Kelima, Jangan lupa berdoa, kerana Allah Taala sahaja yang mampu memberi hidayah kepada dirinya. Walau bagaimana usaha anda hanya Allah SWT yang menentukan segalanya.
2. Mahu memperbaiki diri untuk kebahagiaan kekasih anda.
Jangan sibuk mencari kelemahan si dia semata-mata sedang diri sendiri dilupakan. Masih banyak kelemahan anda sebagai hamba Allah dan seorang insan kepada insan lain. Bagaimana dengan tanggungjawab anda terhadap keluarga, masyarakat dan umat? Sebagai seorang wanita biasa, anda mesti mahu menonjolkan sesuatu perbuatan baik untuk menarik hati orang lain. Bukan bermaksud untuk riyak, tetapi hanya mahu menyebarkan mesej kebaikan di tengah-tengah manusia. Kerana hanya dengan berbuat baik kita dapat mengecapi kebahagiaan bersama orang lain. Cinta dan kebaikan hanya dapat dirasai dengan perkongsian antara sesama manusia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: ”Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat untuk orang lain.” Sebagai isteri andalah tulang belakang keluarga. Sebagai kekasih kepada seorang lelaki andalah cermin bagi hati dan perbuatannya.
3. Cinta itu mencetuskan semangat kesucian.
Hawa nafsu tetap menjadi elemen penting dalam diri insan, namun bukan bermakna kita memujanya. Ia hanya sebagai pelengkap bagi kehidupan di dunia yang fana ini. Cinta yang berasaskan nafsu semata tak akan kekal. Kalau boleh cinta yang anda miliki mampu menguatkan keperibadian, mencetuskan semangat kesucian yang membara, melahirkan visi dan misi yang hebat. Bukan cinta yang melemahkan azam dalam meniti kehidupan, bukan yang mengkhayalkan kekejian yang merosakkan dan bukan yang menghancurkan segala cita-cita yang diimpikan. Maka ramai yang jatuh cinta kemudian berjaya dalam usahanya, baik dalam pelajaran atau kerjaya, dalam kehidupan sebagai hamba Allah atau insan istimewa di hati kawan dan lawan.

4. Cinta yang tidak melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Kalau bercinta sampai lupakan Tuhan, ini sungguh merbahaya, walaupun mabuk rasanya apabila bercinta, pastikanlah syariat tidak dilanggar. Wanita yang benar dan tulus cintanya kepada seorang lelaki akan sentiasa memegang satu prinsip dalam percintaannya: ”Bertemu kerana Allah dan berpisah jua kerana Allah.” Dia percaya kekuatan cinta itu berada dalam genggaman Tuhannya. Jika Allah SWT menghendaki, maka cinta itu akan berputik atau sebaliknya ia akan layu sebelum berkembang. Maka berkuranganlah rasa kecewa, patah hati, kecewa dan hilang semangat jika diri dilukai. Dan tidak pula terlalu yakin dan sombong dengan pasti bahawa diri akan memiliki lelaki itu hingga ke mati. Segala sesuatu itu hanya milik mutlak Allah SWT. Anda tidak berhak atas apa-apa pun di atas dunia ini kerana anda hanya seorang peminjam sementara. Maka akan lahirlah perasaan berserah kepada Allah SWT dan memohon perlindungan-Nya supaya kasih yang dijalin sentiasa diberkati.
5. Cinta yang sentiasa diperjuangkan.
Kehebatan cinta anda dapat dilihat daripada usaha-usaha anda untuk menyuburkannya sepanjang masa. Setia dan sabar memperjuangkan cinta sangat susah diamalkan pada zaman ini. Para lelaki hidung belang ramai berkeliaran mencari mangsa, begitu juga perempuan-perempuan jalang yang telah terhakis sifat malu dalam diri mereka. Anda dan kekasih adalah pasangan yang hidup di tengah-tengah zaman yang hampir hancur oleh kerosakan akhlak. Hanya yang kuat iman dan dilindungi Allah saja yang mampu menghadapi ujian cintanya. Apakah bentuk ujian cinta anda? Jangan harap boleh setia jika diri tidak dibentengi oleh iman dan amal saleh. Sampai bila anda mesti memperjuangkan cinta itu? Jika cinta itu menjadi bentuk ibadah kepada Allah SWT, maka sepanjang hayat anda mesti memperjuangkannya. Hingga ke syurga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...