"Katakanlah
kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara
kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha
Mengetahui apa yang mereka lakukan." (an-Nur: 30)
Bukan
lelaki sahaja yang diperintahkan menundukkan pandangan. Ayat seterusnya
(an-Nur: 31) menyusul, memerintahkan wanita yang beriman juga agar menundukkan
pandangan mereka.
Kenapa
perlu tundukkan pandangan? Sudah tentu pertamanya kerana terang-terangan itu
adalah perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya seperti dalam ayat di atas.
Juga disertai dengan hadis Nabi s.a.w.:
Nabi
s.a.w. bersabda: "Wahai Ali! Jangan engkau ikuti pandangan pertama dengan
pandangan kedua. Sesungguhnya milikmu adalah yang pertama dan yang kedua bukan
milikmu."(Riwayat Ahmad)
Apa
rasionalnya? Pandangan mata adalah perkara pertama yang perlu dijaga dan
dikawal untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk dan besar dosanya, iaitu
zina. Siapa yang boleh menafikan kata-kata "Dari mata turun ke hati"?
Apabila mata sudah seronok melihat, hati yang tidak dikawal juga mudah
merelakan walaupun sebenarnya sudah membawa mudharat pada hati.
Daripada
Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda: Telah dituliskan
(ditentukan Qadar) bahagian seorang manusia daripada penzinaan. Dia pasti
mendapati ketentuannya itu, tanpa dielakkan lagi; zian kedua mata ialah
memandang (perkara yang haram). Zina kedua telinga ialah mendengar (perkara
yang haram). Zina lidah ialah bercakap (perkara yang haram). Zina tangan ialah
memegang atau mengambil (secara tidak benar). Zina kaki ialah melangkah (ke
tempat maksiat). Hati berkeinginan dan bercita-cita. Dan kemaluan akan
membenarkan (melakukan zina) atau mendustakannnya (tidak melakukannya).(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Begitulah
bahayanya pandangan mata yang tak terjaga. Siapa yang boleh menjamin kita
terhindar daripada zina-zina yang disebutkan andai kita tidak menutup pintu
masuk pertama ke arah penzinaan?
Salah
seorang orang soleh pernah ditanya: Bagaimana caranya saya nak menundukkan
pandangan? Beliau berkata: Caranya ialah dengan engkau mengetahui bahawa
pandangan Allah kepada engkau lebih cepat daripada pandangan engkau kepada apa
yang dipandang.
Sentiasalah
merasai bahawa Allah sentiasa mengawasi kita walaupun pandangan kita hanya
sekilas kepada apa yang dipandang. Hanya apabila memiliki perasaan ini, dan
juga rasa takut kepada Allah SWT, kita tidak akan memandang kepada perkara yang
diharamkan walaupun ketika kita bersendirian.
Ibnu
Abbas berkata: "Seorang lelaki berada dalam kumpulan orang ramai. Lalu
seorang perempuan melintas berhampiran mereka. Lelaki itu memperlihatkan kepada
mereka kononnya dia telah menundukkan pandangannya daripada perempuan itu. Jika
lelaki itu merasa bahawa mereka sedang leka, dia pun memandang perempuan itu.
Jika dia bimbang mereka mengetahui gelagatnya, dia pun menundukkan
pandangannya. Sedang Allah sebenarnya melihat hatinya bahawa dia telah
memandang kepada aurat perempuan tersebut."
Pernahkah
terjadi situasi begini kepada kita?
Dalam
usaha dan mujahadah kita untuk menjaga pandangan, saya melihat kepada dua
perkara yang utama. Pertama, menundukkan pandangan daripada melihat perkara
yang haram, dan kedua menundukkan hati di hadapan Allah SWT, lantaran merasakan
kehadiran dan pengawasan Allah bersama kita sama ada ketika bersendirian
ataupun di kalangan orang ramai. Apabila kedua-duanya digabungkan, menundukkan
pandangan bukan lagi menjadi kesusahan pada kita tetapi menjadi suatu kebiasaan
dan tindakan semulajadi tanpa perlu kepada paksaan.
Jagalah
pandangan kita daripada meliar tidak tentu hala. Kita hanya akan merasa penat
dan lelah saja di akhirnya andai pandangan tidak dijaga, kerana mata kita tidak
akan terjangkau untuk melihat semua 'keindahan' yang ada di sekeliling kita.
Dan sudah tentu dosa percuma saja yang kita dapat!