22 Jun 2014

KEPIMPINAN MERUPAKAN AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB


Hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam  (pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap  dipimpinnya".
                                                                                           (Riwayat al-Bukhari)
             
Berdasarkan hadis ini, kita semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga setiap apa yang diamanahkan kepadanya. Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah dan tanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Islam merupakan agama yang meliputi dan menyentuh segala aspek kehidupan. Dalam aspek kepimpinan, Islam telah meletakkan beberapa panduan untuk diteladani. Antaranya : Kepimpinan dalam Islam adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan, dipertanggungjawabkan dan tidak boleh diterima dan dipikul secara sambil lewa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab agama) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakankannya. (Pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya (kebanyakan) manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat bodoh".

Kepimpinan dalam Islam merupakan tugas besar yang memerlukan kesediaan rohani dan jasmani. Sekiranya seorang individu itu lemah dan tidak berkemampuan, maka amanah dan tanggungjawab tidak boleh diterima apatah lagi diminta-minta.

 Abu Dzar RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Wahai Rasulullah kenapa engkau tidak memberi jawatan kepada saya? Baginda langsung menepukkan tangannya di atas bahuku, kemudian bersabda, "Ya Aba Dzar, sesungguhnya engkau ini lemah dan jawatan itu amanah, pada hari kiamat ia akan menjadi penghinaan dan penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan hak jawatan yang menjadi kewajipannya".
                                                                                              (Riwayat Muslim)

Kepimpinan dalam Islam bersifat sepadu kerana Islam tidak hanya terbatas dalam urusan dunia atau urusan akhirat semata-mata. Ajaran Islam meliputi segala urusan dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, spiritual dan material bagi tujuan mencapai kebahgiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...