09 Ogos 2013

Membenci Takdir Menyebabkan Kufur

Membenci takdir boleh membawa kepada kekufuran. Sebaik-baik orang yang bercinta ialah dia reda dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah SWT semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya! Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah SWT, tiada seorang hambapun mengetahui rahsia takdir Allah SWT.
Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah tentang ilmu Allah SWT yang dikurniakan kepada Khidr AS, beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang qadak dan qadar Allah SWT kepada makhluknya. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: ”Semasa Nabi Musa AS berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: ”Tidak ada.” Lalu ditegur oleh Allah SWT: ”Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu.”
Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr AS untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik yang dilakukan oleh Khidr AS. Yang pertama beliau telah membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua. Perbuatan Khidr AS jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa AS. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr AS itu. Musa AS menegur Khidr AS supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr AS merasa telah sampailah waktu perpisahannya dengan Musa AS. Dia berkata melalui firman Allah SWT yang bermaksud: ”Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu aku bocorkan dengan tujuan mencacatkannya. Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur. Oleh itu kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang saleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.
Demikianlah rahsia ilmu Allah SWT yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami kesemuanya dengan tepat. Qadak dan qadar Allah SWT itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah SWT untuk kita. Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa telah menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: ”Inilah saat perpisahanku denganmu.” Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?”
Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa sahaja ketentuannya. Tetapi jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat reda mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Tetapi tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari dari qadak Allah? Umar menjawab: ”Ya, kita lari dari qadak Allah kepada qadar Allah juga.”
Makna qadak adalah ketentuan yang telah terjadi dan qadar adalah ketentuan yang belum terjadi. Untuk itu ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah SWT. Dan jangan sekali-kali memilih atas apa yang telah Allah SWT pilihkan untuk hidup kita. Sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: ”Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: ”Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ini semua ketentuan Allah dan apa-apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan ’seandainya’ itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan.” Hadis riwayat Imam Muslim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...