12 Julai 2008

HUTAN

Hutan tropika
Hutan tropika termasuklah hutan hujan malar hijau di garis lintang khatulistiwa dan hutan monsun tropika. Di hutan khatulistiwa pokok-pokok biasanya menggugurkan daunnya sedikit-sedikit ataupun menggugurkan daunnya mengikut musim tetapi kebanyakan daripada pokok itu mempunyai daunnya hampir seluruh masa dan sebab itu hutan ini kelihatan malar hijau. Di hutan monsun pokok-pokok ialah jenis daun-luruh yang menggugurkan daunnya pada musim kemarau dan tidak mengeluarkan daun baru sehingga musim hujan tiba.

Isu sumber hutan tropika begitu mendapat perhatian di kalangan warga dunia terutama sekali dari negara-negara maju. Kebetulan pula sumber hutan ini tidak kedapatan di negara mereka, sebaliknya di negara bekas jajahan mereka iaitu negara sedang membangun. Kritikan dari negara maju begitu terasa terutama sekali dari kerajaan mereka dan pertubuhan yang terdapat di negara-negara tersebut.

Takrifan
Hutan hujan tropika terletak di garisan lintang khatulistiwa yang suhunya panas dan lembab sepanjang tahun. Ia memerlukan suhu 18-30 °C dan hujan antara 200-300 sentimeter setahun. Hutan ini terletak di Afrika Tengah, Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Asia Kepulauan Pasifik.

Antara sumber hutan yang terpenting ialah jenis hutan dipterokarp. Keluarga dipterokarp ada lebih 16 jenis dan 550 species. Pusat utamanya ialah di Borneo. Lain-lain ialah di Sumatera, Semenanjung Malaysia, Jawa, Nusa Tenggara, Filipina, Sulawesi, Maluku, New Guinea dan Kepulauan Solomon. Dalam hal ini hutan dipterokarp di Filipina telah habis ditebang.

Dipterocarpaceae ialah sebuah famili yang terdiri daripada 17 genus dan lebih kurang 580-680 spesies. Spesies-spesies itu terutamanya terdiri daripada pokok-pokok hutan hujan tanah rendah tropika yang menghasilkan buah-buah dua sayap. Genus-genus yang terbesar ialah Shorea (360 spesies), Hopea (105 spesies), Dipterocarpus (70 spesies), dan Vatica (60 spesies).

Kebanyakan daripada spesies dalam famili Dipterocarpaceae adalah besar, dan tingginya biasa mencapai 40-70 meter. Spesies-spesies dalam famili ini adalah amat penting dalam perdagangan kayu balak. Taburannya di seluruh kawasan tropika, dari utara Amerika Selatan ke Afrika,Seychelles, India, Indochina dan Malesia, dengan kepelbagaian dan jumlah yang terbesar di Malesia barat. Kini, sebilangan spesies itu terancam disebabkan penebangan yang keterlaluan dan pembalakan haram yang meluas. Pokok-pokok Dipterocarpaceae membekalkan kayu yang bernilai, minyak pati yang berbau wangi, balsam dan resin.

Hutan Paya Air Tawar
Kawasan ini tersebar luas di atas tanah “alluvial” yang ditenggelami air tawar untuk jangkamasa yang panjang. Ini dikaitkan dengan paya perairan, tasik-tasik air tawar, kawasan tanah rendah sungai-sungai. Kawasan tanah permukaan hutan paya ditenggelami air yang
bernutrien tinggi dari proses-proses banjir yang mempunyai pH yang tinggi ( > daripada 6). Keadaan yang kurang berasid dan nutrien yang tinggi menyebabkan produktiviti dari kawasan
ini adalah tinggi. Hutan paya air tawar adalah lebih tinggi (ketinggian pokoknya) dan kepelbagaiannya adalah lebih tinggi daripada hutan paya tanah gambut.

Kawasan ekosistem paya air tawar mempunyai jenis-jenis tanah yang berbeza dan tumbuhan
vegetasinya. Jenis-jenis tumbuhan yang boleh dijumpai termasuklah pandan, nipah, “shrub” dan hutan. Kawasan hutan paya mempunyai pokok-pokok yang berketinggian 35 m, berliana dan tumbuhan epifit. Akar pokok-pokok ini akan berada di dalam air untuk jangkamasa yang panjang. Di dalam ekosistem yang mempunyai air bertakung yang panjang, akar-akar pokok telah mengadaptasikan dirinya untuk proses penukaran gas seperti akar banir, akar tegak, akar lelutut dan akar berjangkungan.

Walaupun spesis hutan hampir sama dengan hutan tanah rendah dipterocarp, kepelbagaiannya adalah kurang. Pokok-pokok yang penting di dalam hutan paya air tawar termasuklah dari spesis Campnosperma, Alstonia, Eugenia, Canarium, Kompassia, Callophyllum dan Melanorrhoea. Pokok sago dari spesis Metroxylon sagu boleh dijumpai di kawasan hutan paya air tawar. Dari segi kepelbagaian hidupan-hidupan liar di kawasan hutan paya air tawar, ianya adalah lebih tinggi dari hutan paya gambut. Primate seperti Macaques, Macaca fascicularis banyak dijumpai di sini.

Hutan Paya Gambut
Hutan paya gambut boleh diertikan mempunyai tanah yang lebih daripada 65% kandungan organik. Kawasan paya gambut secara amnya adalah kurang nutrien kerana sumber airnya adalah daripada hujan dan oleh itu mempunyai kepelbagaian yang kurang berbanding dengan hutan paya air tawar.

Pemendapan dan pengumpulan gambut kebiasaanya melebihi 50 cm kedalamannya dan rekod
kedalaman yang pernah dicatit adalah 20 m di Kalimantan. Struktur permukaan gambut adalah ianya tegap, berfibrus dan mempunyai satu permukaan luar yang lembut diatas isinya yang lembut yang mempunyai kepingan-kepingan kayu dan sisa-sisa tumbuhan vegetasi yang lain.

Kawasan paya gambut adalah berasid (pH 4 atau kurang) dan nutrien yang kurang terutamanya kalsium. Kebiasaanya sungai-sungai yang mengalir dari kawasan ini berwarna coklat seperti teh O.

Pembentukan hutan paya gambut bermula di bahagian hulu kawasan paya bakau di mana sedimensedimen halus yang dibawa oleh sungai akan terperangkap di dalam akar-akar banir paya bakau.

Selepas sesuatu jangkamasa yang lama, kawasan ini kurang ditenggelami air pasang surut dan kurangmasin. Tumbuhan lain akan bertapak dan oleh kerana pengaruh air pasang surut dan kemasukan airtawar yang tinggi, tanah di sini senantiasa ditenggelami air. Mikro-organisma yang mana akan menguraitumbuhan mati yang tidak dapat hidup di ekosistem ini dengan keadaan tiada oksigen, kandungansulfat yang tinggi dan menyebabkan pengumpulan bahan-bahan organic. Lapisan gambut ini akan menutupi kawasan paya bakau.

Hutan Paya Bakau
Hutan ini boleh dijumpai dikawasan pinggiran laut dan muara sungai. Hutan ini boleh dijumpai di
dalam zon pasang surut di mana air pasang membawa air masin dari laut dua kali sehari. Satu ciri utama hutan ini adalah ia dipenuhi oleh lumpur. Hutan paya bakau adalah tanah lembab yang boleh dijumpai di iklim tropika.

Tumbuhan paya bakau mempunyai spesis yang tahan kepada keadaan persekitaran yang berair masin dan berlumpur dan kebanyakannya terdiri dari pokok nipah iaitu Nypa fruticans. Kawasan paya bakau memberi perlindungan dan sumber makanan secara langsung atau tidak kepada pelbagai komuniti hidupan seperti burung, organisma marin, ikan-ikan, molluska, siput, reptilia dan lain lain lagi.

Kawasan hutan paya bakau mempunyai kepelbagaian fauna yang tinggi dari spesis krustasia dan molluska dan merupakan kawasan pembiakan dan pembesaran pelbagai spesis ikan dan udang. Spesis primate yang boleh dijumpai di kawasan ini termasuklah bangkatan, (Nasalis larvatus), Monyet kelabu (Presbytis cristata), Biawak (Varanus salvator) buaya (Crocodylus porosus) dan burung Pitta megarhyncha dan Cyornis rufigastra.

Kepentingan Hutan Paya Bakau
Kawasaan hutan paya bakau mempunyai beberapa kepentingan kepada manusia termasuklah;
1) melindungi tanah persisiran pantai daripada hakisan
2) Mengitar semula nutrien
3) Mengalih buangan toksik
4) Membekalkan kayu bakar, arang dan kayu untuk pembangunan
5) Menampung pelbagai hidupan tumbuhan dan haiwan
6) Menyediakan kawasan pembiakan dan ekosistem bagi pelbagai spesis-spesis ikan, udang,
kerang, ketam dan cangkerang dan siput-siput.
7) Menyediakan kawasan makanan dan pembiakan bagi burung-burung yang berhijrah dan juga
burung tempatan
8) Membantu mengawal banjir.

Flora Hutan Paya Bakau
Kebanyakan spesis pokok bakau yang terdapat di sini terdiri daripada keluarga yang berbeza tetapi secara amnya mempunyai ciri-ciri yang serupa seperti akar pernafasan dan tabiat percambahan biji secara vivapari. Spesis-spesis pokok bakau yang biasa dijumpai terdiri dari genus Rhizophora, Bruguiera, Avicennia dan Sonneratia. Pokok-pokok ini merupakan ekosistem pelbagai spesis burung yang bertempat di situ dan burung yang berhijrah.

Avicennia (Api-api)
Pokoknya kecil atau bersaiz sederhana dengan akar pernafasan kelihatan macam pensel. Daunnya berbentuk bujur dengan hujung yang tajam atau bulat. Bunganya berwarna jingga kekuningan. Buahnya berbentuk telur dengan hujung yang tajam dan dilitupi oleh bulu disebut tomentum. Batang pokok berbentuk silinder dengan liang pernafasan (lantisel). Pada kebiasaanya ia tumbuh berhampiran dengan air laut. Contoh Avicennia termasuklah:

1) Avicennia alba (Api-api putih) bercirikan permukaan bawah daun kelihatan putih dan batangnya berwarna kelabu dan licin.
2) Avicennia marina (Api-api jambu) mempunyai kulit pokok spesis ini perang kemerahan dan bersisik.
3) Avicennia officianalis (Api-api ludat) mempunyai batang kulit yang rekah dan banyak lantisel.

Sonneratia
Pokoknya kecil ataupun sederhana. Akar pernafasan berbentuk gelendung. Daunnya tebal dan berair. Bunganya putih dan berbau masam, berkembang pada waktu senja dan layu pada waktu fajar. Buahnya keras, hijau dan berbentuk bola. Kebiasaanya ia tumbuh dikawasan berlumpur. Tumbuhan ini mudah dijumpai di hutan paya bakau. Contoh Sonneratia adalah;

1) Sonneratia alba (Perepat) mempunyai ciri berhujung daun bulat.
2) Sonneratia caseolaris (Berembang) mempunyai ciri daun yang hujungnya tajam.

Rhizophora (Bakau)
Pokok spesis ini mempunyai banyak akar jangkang. Daunnya bujur tajam di hujung, hijau kehitaman tetapi daun muda kemerahan. Batang berbentuk silinder dengan banyak lantisel. Bunga spesis ini berwarna kuning dan selalunya berpasangan. Warna buahnya perang dengan bahagian hujung berpanjangan. Ia tumbuh pada kawasan Lumpur di muara sungai. Contoh spesis pokok ini adalah;

1) Rhizophora apiculata (Bakau Minyak) mempunyai batang berwarna kelabu dan ianya licin.
2) Rhizophora mucronata (Bakau kurap) mempunyai kulit yang kasar dan berwarna kelabu
gelap dengan rekahan yang mendatar.

Bruguiera
Pokok bakau spesis ini mempunyai akar banir dan akar pernafasan “Knee breathers”. Daunnya berwarna hijau gelap dengan hujung tirus. Buahnya berbentuk panjang dan tumbuh pada Lumpur keras. Contoh pokok spesis ini termasuklah;

1) Bruguiera cylindrical (Berus) mempunyai ciri batang berwarna kelabu dengan lantisel yang
kemerah-merahan.
2) Bruguiera parviflora (Lenggadai) mempunyai ciri batang berwarna kelabu dan licin tetapi lantiselnya sedikit sahaja.
3) Bruguiera sexagula (Tumu Putih) mempunyai ciri kulit yang pucat dan mempunyai lantisel yang besar.

Fauna di Hutan Paya Bakau
Hutan paya bakau merupakan satu kawasan yang penting bagi pembiakan dan tempat mencari makan bagi pelbagai hidupan termasuklah manusia. Hidupan-hidupan yang boleh dijumpai termasuklah:

1) Ikan Tembakul (Mud Skipper)
Sejenis ikan yang paling kerap dijumpai di kawasan paya bakau. Ikan ini boleh bergerak di permukaan tanah/darat. Ia boleh bernafas melalui insang dan melalui kulitnya. Ia menyimpan sedikit air didalam lehernya untuk membolehkan ia mendapat oksigen. Selepas beberapa minit, ikan ini mesti kembali ke air untuk bernafas. Ikan jantan selalu berlaga antara satu sama lain.

2) Ketam
Masa yang paling sesuai untuk melihat krustacea ialah ketika air surut. Ketam ini akan keluar
dari ekosistemnya di dalam tanah pada masa ini. Krustasia menjadikan Lumpur, detritus dan
bahan-bahan pokok sebagai makanannya. Ia menggali terowong di dalam Lumpur yang juga
melonggarkan dan mengudarakan tanah. Kelakuan ini amatlah penting bagi kesihatan hutan
paya bakau.

a) Ketam Rebab (Uca Sp.) ini kecil dan berwarna warni. Ketam jantan mempunyai salah satu penyepitnya besar dan digunakan untuk melindungi kawasannya dan juga untuk menatik perhatian ketam betina yang mempunyai saiz pengepit yang biasa. Apabila air pasang, ketam ini memasuki terowongnya dan menutup terowong ini dengan pintu kolong sehingga air surut. Setiap jenis ketam rebab mempunyai raut warna yang berlainan
b) Ketam Bakau (Scylla serrata) adalah lebih besar dan menjadi hidangan manusia. Ianya sukar untuk dilihat kerana warna kulitnya seakan Lumpur. Ianya penting dari segi komersial dan banyak ditangkap untuk dijual oleh komuniti yang hidup berdekatan dengan kawasan ini.

3) Kelip kelip
Serangga ini sentiasa terdapat di hutan bakau. Ia suka hinggap pada pokok bakau khususnya spesis Sonneratia pada waktu malam. Hujung abdomennya boleh mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip.

4) Udang karang Lumpur (Thalassina anomala)
Udang ini adalah sejenis udang yang amat pemalu. Ianya hanya akan keluar pada waktu malam. Ia boleh mencapai ukuran sehingga 30 cm dan bekasnya boleh diperhatikan melalui timbunan tanah disepanjang kawasan berair. Timbunan tanah yang berbentuk gunung berapi kecil boleh mencapai ukuran 45 - 60 cm tinggi.

5) Belangkas (“Horse Shoe Crab”)
Belangkas merupakan sejenis haiwan purba yang masih boleh dijumpai sehingga kini. Ia sering diperhatikan bergerak dalam pasangan. Dua spesis yang biasa dijumpai adalah Carcinoscorpius rotundicauda (diameter sehingga 15 cm) dan Tachypleus gigas (diameter sehingga 25 cm)

6) Cangkerang (Siput/Sipur)
Kumpulan ini boleh diperhatikan diwaktu air surut. Jenis yang biasa dijumpai
adalah:

a) Berungun adalah sejenis gastropoda yang terdiri daripada pelbagai saiz dan jenis. Haiwan ini memakan daun-daun pokok bakau yang luruh dan juga alga yang terdapat di atas permukaan Lumpur.
b) Tiram dan Kupang merupakan haiwan dwicengkerang yang berpaut pada sesuatu kawasan dan tidak bergerak bebas seperti berungun. Ia kebiasaanya dijumpai terlekat pada akar-akar pokok Rhizophora. Haiwan ini memakan plankton mikroskopik yang dibawa oleh air laut setiap hari.

7) Lotong
Lontong berwarna kelabu tetapi hujung bulu kelihatan seperti perak pudar. Ianya mempunyai sepucuk bulu panjang pada kepalanya. Akan tetapi anak lontong berwarna jingga. Mamalia primat ini hidup di atas pokok-pokok secara berkelompok dengan 12 - 50 ekor sekumpulan. Lontong suka makan daun muda, pucuk dan buah tumbuhan.

8) Kera
Kera sering dijumpai di hutan bakau. Kadangkala kera ini turun dari pokok dan menggali Lumpur untuk mendapatkan ketam kecil sebagai makanan. Kera berwarna perang dan pandai berenang. Mereka hidup berkelompok dalam lingkungan 40 ekor sekumpulan.

9) Memerang
Memerang kadangkala dijumpai dikawasan hutan paya bakau mencari
makanan seperti udang, ikan, ketam dan penyu kecil. Terdapat 4 spesis memerang di Malaysia.

10) Burung -burung air
Kawasan Paya bakau menjadi tempat persinggahan dan tempat mencari makanan dan
juga rumah bagi setengah spesis burung-burung air. Burung-burung ini terdiri daripada:

a) Bangau kecil (Egretta garzetta) berwarna putih dan mempunyai bentuk badan yang kecil. Ia selalu kelihatan di kawasan randuk yang cetek ataupun bertenggek di atas
pokok.
b) Bangau Sederhana (Egretta intermedia) adalah lebih besar daripada bangau
kecil dan mempunyai leher yang lurus, tidak seperti saudaranya, Bangau Besar (Egretta alba).
c) Pucung Serandau (Ardea purpurea) adalah burung yang cantik dan boleh
mencapai ketinggian 90 sm. Anak Pucung kelihatan lebih gelap dan mempunyai juraian bulu pelepah berwarna coklat.
d) Pucung Keladi (Butorides striatus) lebih bersifat pemalu dan
suka bersendirian dan emrupakan pakar memburu secara berdiri dan tunggu.
e) Pekaka Sungai (Halcyon chloris) adalah sejenis burung yang
mempunyai pelepah yang berwarna biru terang dan leher berwarna putih. Ia tinggal
dikawasan ini sepanjang tahun dan suka bertenggek di atas batang-batang pokok dan menyelam untuk menangkap ikan dan haiwan kecil lain untuk dijadikan makanan. Burung ini bising dan boleh dikenali dengan bunyi kek-kek-kek-kek-kek yang kasar.

f) Pekaka Paruh pendek (Pelargopsis capensis) mempunyai paruh yang merah dan sayap
yang berwarna biru.

g) Perling Mata merah (Aplonis paneyensis)

h) Pergam Besar (Ducula aenea)

i) Tekukur (Streptopelia chinensis) adalah burung merpati yang boleh dijumpai dikawasan paya bakau. Kicauannya menarik dalam bentuk ku-ku-ku. Dietnya terdiri daripada biji benih dan tumbuhtumbuhan yang lain.

Hutan Pantai
Hutan pantai terdapat di kawasan pinggir laut yang rendah, bersaliran baik, berpasir dan terdedah kepada tiupan angin dari laut. Antara tumbuh-tumbahan yang terdapat di hutan pantai ialah pokok ru.

Kawasan pesisiran pantai merupakan entiti yang kompleks di mana pelbagai interaksi haiwan, tumbuhan, manusia dan kuasa alam yang dinamik berlaku. Terdapat pelbagai jenis hutan yang berada di kawasan ini seperti hutan paya laut atau hutan bakau, hutan paya gambut, hutan tepian sungai, dan hutan pantai. Kawasan hutan di pesisiran pantai memainkan peranan yang amat penting kepada kesejahteraan penduduk pesisir yang tinggal berhampiran dengan pantai dari segi sosial, ekonomi, dan keselamatan.

Hutan paya laut merupakan habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri morfologi dan fisiologi yang istimewa lagi unik yang berfungsi untuk penyesuaian kepada persekitaran yang sentiasa mengalami air pasang surut, kemasinan air yang tinggi, keadaan tanah berlumpur, terdedah pada pukulan ombak serta tiupan angin yang kencang sepanjang masa. Antara spesies yang tumbuh di kawasan ini adalah seperti Bakau minyak (Rhizophora apiculata), Bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan banyak lagi, pokok kelapa, pokok renek, mengkuang laut, tumbuhan menjalr seperti tapak kuda dan semak samun. Tumbuh-tumbuhan ini dapat hidup walaupun sekali-sekala ditengelami air laut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...