27 September 2009

Hubungan Kependudukan Dengan Sumber


Pengenalan
Jumlah penduduk di negara-negara di dunia adalah berbeza-beza. Jumlah penduduk di sesebuah negara di dunia boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:
Penduduk berlebihan, penduduk optimum dan kurang penduduk

Negara penduduk berlebihan bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang terlalu besar sehingga sumber alamnya tidak dapat menampung keperluan penduduk dengan secukupnya.

Negara penduduk optimum bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang dapat menggunakan sumber alamnya dengan sepenuhnya dan menikmati taraf hidup yang paling tinggi.

Negara kurang penduduk bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang kecil berbanding dengan sumber alamnya yang banyak tetapi tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya oleh penduduknya.

Ciri-ciri penduduk berlebihan

Sesebuah negara dianggap mempunyai penduduk berlebihan apabila sumber alamnya tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk yang ramai. Negara-negara yang mempunyai penduduk berlebihan ialah seperti India, Bangladesh, Ethiopia, Pakistan dan China.

-Saiz penduduknya amat besar, iaitu melebihi l00 juta orang.
-Kepadatan penduduk melebihi 200 orang sekilometer persegi.
-Sumber alam tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk
-Taraf hidup yang rendah
-Taraf teknologi yang rendah
-Kadar pengangguran yang tinggi
-Kekurangan kemudahan awam dan perkhidmatan sosial

Faktor-faktor yang mempengaruhi penduduk berlebihan

1. Taraf kesihatan yang rendah
Taraf kesihatan yang rendah menyebabkan kadar kelahiran meningkat dan kadar kematian juga meningkat. Ini disebabkan oleh kadar pertambahan penduduk yang ramai menyebabkan kemudahan kesihatan tidak mencukupi.

2. Hasil produktiviti rendah
Kegiatan ekonomi utama penduduk ialah pertanian dan menyebabkan hasil produktiviti negara rendah kerana bergantung kepada tenaga buruh manusia.

3. Taraf pendidikan yang rendah
Penduduk mempunyai taraf pendidikan yang rendah dan kadar buta huruf yang tinggi.

4. Anak yang ramai
Penduduk tidak mengamalkan perancangan keluarga kerana mereka suka mempunyai anak yang ramai supaya dapat membantu mereka dalam kerja pertanian.

5. Migrasi penduduk tinggi
Migrasi penduduk luar bandar ke kawasan bandar selalu berlaku kerana untuk mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan kadar upah yang tinggi.

6. Taraf teknologi rendah
Taraf teknologi rendah menyebabkan negara sukar membangun dan hanya kekal dalam bidang pertanian sahaja.

Kesan-kesan Penduduk Berlebihan

1. Kekurangan makanan
Negara-negara yang penduduk berlebihan mengalami masalah kekurangan makanan kerana tanah yang boleh digunakan untuk menjalankan pertanian adalah terhad. Contohnya, negara Ethiopia mengalami kemarau yang berpanjangan menyebabkan kegiatan pertanian tidak dapat diusahakan. Oleh itu, bekalan makanan yang ada tidak cukup untuk keperluan penduduk.

2. Kekurangan tempat tinggal
Migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar berlaku dengan giat di negara-negara penduduk berlebihan. Ini menyebabkan kos rumah dan sewa rumah meningkat dengan cepat dan sangat mahal. Golongan migran kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendidikan rendah. Oleh itu, mereka susah mendapatkan kerja yang baik dan terpaksa tinggal di kawasan setinggan seperti di Mumbai, India.

3. Kekurangan pekerjaan
Penduduk berlebihan di sesuatu kawasan menyebabkan ramai penduduk berkongsi sedikit peluang pekerjaan. Oleh itu, penduduk yang tidak kenal huruf akan mengalami masalah pengangguran dan sukar mendapatkan pekerjaan. Contohnya, bidang perindustrian yang kurang maju di Bangladesh hanya menyumbangkan sedikit peluang pekerjaan kepada penduduk.

4. Kekurangan pendidikan
Penduduk berlebihan di sesebuah negara menyebabkan ramai kanak-kanak tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan. Kebanyakan negara miskin seperti Ethiopia, India dan Bangladesh mempunyai anak yang ramai dalam satu keluarga dan mereka tidak mampu pergi ke sekolah kerana faktor kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan kadar kenal huruf rendah dan kanak-kanak terpaksa bekerja sebagai buruh kasar untuk membantu keluarga.

5. Kekurangan perubatan
Negara-negara yang mempunyai penduduk berlebihan tidak mempunyai kemudahan perubatan yang baik kerana terlalu ramai penduduk menggunakan sedikit perkhidmatan perubatan. Oleh itu, wabak penyakit senang merebak dan boleh menyebabkan kematian. Contohnya, di Bangladesh terdapat 1 orang doktor untuk merawat 4 759 orang pesakit.

6. Jangka hayat pendek
Negara penduduk berlebihan mempunyai amalan pemakanan yang kurang berkhasiat dan kebuluran. Oleh itu, jangka hayat penduduk akan menjadi semakin pendek. Contohnya, purata jangka hayat penduduk Bangladesh ialah 58 tahun.

7. Kekurangan kemudahan asas
Penduduk berlebihan di sesebuah negara boleh menyebabkan kemudahan asas dalam negara tidak mencukupi. Oleh itu, penduduk terpaksa menggunakan kos yang tinggi untuk mendapatkan kemudahan asas. Contohnya, hanya 42.4% penduduk India mendapatkan bekalan elektrik.

Ciri-ciri Kurangan Penduduk

Sesebuah negara dianggap kurang penduduk apabila jumlah penduduknya kurang dan tidak dapat membangunkan sumber alamnya dengan maksimum. Negara-negara yang mempunyai kurang penduduk ialah seperti Kanada, Australia dan Brazil.
Mempunyai keluasan tanah yang besar tetapi bilangan penduduk sedikit.
Kepadatan penduduk rendah iaitu kurang daripada 50 orang sekilometer persegi.
Terdapat sumber alam yang banyak tetapi tidak diusahakan sepenuhnya.
Berupaya menampung lebih ramai penduduk tanpa menjejaskan taraf hidup.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kurang penduduk

1. Taraf pendidikan yang tinggi
Penduduk mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan kebanyakannya berkelulusan kolej
atau universiti.

2. Golongan muda berkahwin lambat
Golongan muda berkahwin lambat menyebabkan kadar kelahiran rendah dan kadar pertumbuhan penduduk juga rendah.

3. Mengamalkan perancangan keluarga
Penduduk mementingkan kerjaya dan mengamalkan perancangan keluarga untuk mengehadkan bilangan anak.

4. Meningkatkan taraf hidup
Penduduk lebih mementingkan kehidupan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf
hidup mereka.

5. Cara hidup pergaulan bebas
Cara hidup pergaulan bebas mempengaruhi golongan muda berkahwin lambat.

Kesan-kesan Kurangan Penduduk

1. Kadar pertambahan semula jadi rendah
Negara-negara yang kurang penduduk mempunyai kadar pertambahan semula jadi yang rendah. Contohnya, negara Kanada dan Australia mengalami kadar kelahiran dan kadar kematian yang rendah.

2. Sumber alam yang banyak
Negara-negara yang kurang penduduk mempunyai sumber alam yang banyak dan hasil pengeluarannya bukan sahaja cukup untuk penduduknya malah dapat dieksport ke luar negara.

3. Lebihan makanan
Negara-negara yang kurang penduduk mempunyai tanah yang luas dan teknik pertanian moden yang canggih untuk menghasilkan tanaman makanan yang banyak, lebih berkhasiat dan seimbang.

4. Tempat tinggal yang lengkap
Penduduk di negara kurang penduduk memiliki rumah yang besar dan lengkap. Ini adalah kerana mereka mempunyai tanah yang luas dan ahli keluarga yang kecil. Contohnya, purata pendapatan setiap keluarga di Kanada ialah AS$39 655 dalam setahun.

5. Pekerjaan yang banyak
Kadar pengangguran di negara kurang penduduk adalah rendah. Ini adalah kerana negara mereka mempunyai banyak pekerjaan dan kadar upah yang tinggi sedia dipilih oleh penduduk. Contohnya, Kanada memerlukan banyak pekerja untuk membangunkan negaranya. Oleh itu, kerajaan Kanada menggalakkan kemasukan pekerja asing dari negara lain.

6. Struktur penduduk tidak seimbang
Negara-negara yang kurang penduduk mempunyai jumlah penduduk muda yang sedikit dan jumlah penduduk tua yang ramai. Ini menyebabkan kerajaan terpaksa menambahkan perbelanjaan untuk menyediakan rumah orang tua, skim pencen dan perkhidmatan kesihatan.

7. Sistem pendidikan yang lengkap
Pihak kerajaan menyediakan prasarana pendidikan yang lengkap untuk penduduk. Oleh itu, penduduk di negara kurang penduduk kebanyakannya berkelulusan kolej atau universiti.

8. Sistem perubatan moden
Negara kurang penduduk mempunyai perkhidmatan kesihatan yang baik dan mereka mempunyai pelbagai peralatan perubatan moden. Oleh itu, kadar kematian penduduk adalah rendah di negara kurang penduduk.

9. Kemudahan asas dibiayai
Penduduk di negara kurang penduduk dapat menikmati segala kemudahan asas kerana dibiayai oleh kerajaan. Contohnya, Brazil mempunyai banyak hutan yang menjadi kawasan tadahan hujan bagi tasik dan sungai. Keluasan tadahan dapat menjana kuasa hidroelektrik untuk menampung keperluan penduduk.

Rumusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...