24 September 2009

Cuaca Dan Iklim Serta Pengaruhnya

Pergerakan Bumi Di Dalam Sistem Suria

Pengenalan
Bumi yang kita diami berbentuk sfera. Bumi mempunyai dua kutub, iaitu Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Garisan Khatulistiwa ialah satu bulatan bayangan di permukaan bumi di tengah-tengah antara Kutub Utara dan Kutub Selatan. Paksi bumi ialah satu garisan bayangan merentas bumi dari Kutub Utara ke Kutub Selatan.

Putaran Bumi Serta Kesannya
Bumi berputar di atas paksinya mengikut arah lawan jam, iaitu dari arah barat ke timur. Kecondongan paksi bumi adalah sebanyak 66 1/2o dengan rataan londar matahari dan 23 1/2o dengan garis tegak ke rataan londar matahari.

Putaran bumi akan menyebabkan berlakunya:
-Siang dan malam
-Biasan angin dan arus lautan
-Air pasang dan surut

1.Siang dan Malam
Putaran bumi di atas paksinya mengakibatkan hanya sebahagian bumi yang menerima cahaya matahari dan bahagian yang satu lagi dalam kegelapan pada waktu-waktu tertentu.

2.Biasan Angin dan Arus Lautan
Objek yang melintasi hemisfera utara akan dibias ke kanan, manakala objek yang melintasi hemisfera selatan akan dibias ke kiri.

3.Air Pasang Surut
Air pasang surut di laut adalah akibat daripada tarikan graviti bulan.

Peredaran Bumi Serta Kesannya
Semasa bumi berputar di atas paksinya, bumi juga beredar mengelilingi matahari mengikut arah lawan jam dalam orbit bujur

Satu edaran mengelilingi matahari mengambil masa selama 365 1/4 hari.Orbit bujur bumi menyebabkan bumi tidak sentiasa berada pada jarak yang sama dari matahari.

Peredaran bumi dan kecondongannya paksinya mengakibatkan:

A.Perubahan ketinggian matahari tengah hari di langit
Peredaran bumi mengelilingi matahari serta kecondongan paksinya menyebabkan ketinggian matahari tengah hari berubah mengikut garis lintang pada waktu-waktu berlainan dalam setahun. Ini boleh dibuktikan melalui keadaan di bawah:

Pada 21 Mac (Ekuinoks musim bunga di Hemisfera Utara)
Matahari berada tegak di atas kepala di Khatulistiwa pada waktu tengah hari.
Pada 21 Jun (Solstis musim panas di Hemisfera Utara)
Matahari berada tegak di atas kepala di Garisan Sartan pada waktu tengah hari.

Pada 23 September (Ekuinoks musim luruh di Hemisfera Utara)
Matahari berada tegak di atas kepala di Khatulistiwa pada waktu tengah hari.

Pada 22 Disember (Solstis musim sejuk di Hemisfera Utara)
Matahari berada tegak di atas kepala di Garisan Jadi pada waktu tengah hari.

Matahari berada paling hampir dengan bumi pada masa ekuinoks, manakala lebih tinggi dari bumi semasa solstis.


B.Perbezaan Panjang Waktu Siang dan Malam
Peredaran bumi mengelilingi matahari juga menyebabkan perbezaan panjang waktu siang dan malam pada masa yang berlainan dalam setahun. Walau bagaimanapun, kawasan di Khatulistiwa mempunyai waktu siang dan malam yang sama panjang sepanjang tahun.
Ini boleh diperjelaskan melalui keadaan di bawah:

Pada waktu Ekuinoks (21 Mac dan 23 September)
Semua tempat di dunia kecuali Kutub Utara dan Kutub Selatan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang kerana matahari berada tegak di atas kepala di Khatulistiwa.

Pada waktu Solstis musim panas (21 Jun)
Pada masa ini, berlaku musim panas di Hemisfera Utara , ini menyebabkan siang lebih panjang dan waktu malamnya lebih pendek.
Pada masa yang sama, Hemisfera Selatan mengalami musim sejuk, ini menyebabkan siang lebih pendek dan malamnya lebih panjang .
Kawasan di utara Garisan Artik mengalami 24 jam siang, manakala kawasan di selatan Garisan Antartik mengalami 24 jam siang.

Pada waktu Solstis musim sejuk ( 22 Dis )
Pada masa ini, berlaku musim sejuk di Hemisfera Utara, ini menyebabkan malam lebih panjang dan waktu siangnya lebih pendek. Pada masa yang sama, berlaku musim panas di Hemisfera Selatan, ini menyebabkan waktu siangnya lebih panjang dan waktu malamnya lebih pendek.
Kawasan di utara Garisan Artik mengalami 24 jam malam, manakala kawasan di selatan Garisan Antartik pula mengalami 24 jam siang.

C.Empat Musim dalam Setahun
Peredaran bumi mengelilingi matahari serta kecondongan paksinya juga menyebabkan berlakunya kejadian empat musim dalam setahun. Negara-negara yang mengalami kejadian empat musim yang nyata ialah Negara-negara Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Empat musim yang nyata ini biasanya berlaku di pertengahan Garisan Lintang dan tidak berlaku di kawasan Tropika kerana matahari sentiasa berada tinggi di langit.

Di kawasan Garisan Artik dan Garisan Antartik, musim bunga dan musim luruh sangat pendek, manakala musim panas dan musim sejuknya agak panjang.

Cuaca Dan Iklim Di Malaysia
Malaysia mengalami iklim jenis Khatulistiwa. Iklim Khatulistiwa bersifat panas dan lembap sepanjang tahun. Malaysia mencatatkan suhu yang tinggi dan setara (hampir sama) sepanjang tahun. Min suhu tahunan ialah di antara 26oC hingga 27oC. Kawasan tanah tinggi, seperti Cameron Highland, mengalami suhu yang lebih rendah, iaitu kira-kira 18oC. Malaysia menerima hujan lebat, iaitu kira-kira 2000 mm - 3000 mm setahun.

Ciri-ciri Iklim Di Malaysia
Ciri-ciri iklim negara Malaysia dapat dikenal pasti dari segi:
Suhu
Hujan
Angin
Kelembapan Bandingan Udara

A.Suhu
Malaysia mengalami suhu yang tinggi dan setara sepanjang tahun. Min suhu tahunannya adalah kira-kira 260C hingga 270C.

Min suhu tahunan di kawasan tanah pamah adalah kira-kira 270C, manakala di kawasan tanah tinggi, min suhu lebih rendah.

Julat (perbezaan suhu tertinggi dengan suhu terendah) suhu tahunan adalah pula kira-kira 180C. Bagaimanapun, julat suhu harian adalah tinggi, iaitu kira-kira 70C.

Malaysia mengalami julat suhu tahunan yang kecil
kerana:
-Suhu agak sekata sepanjang tahun
-Menerima pancaran matahari sepanjang tahun
-Kelembapan bandingan udara tinggi (kira-kira 85%)
-Langit diliputi oleh awan yang tebal
-Litupan hutan yang tebal dan luas
-Sifat kepulauannya iaitu dikelilingi oleh laut.

B.Hujan
Malaysia menerima hujan lebat sepanjang tahun, kira-kira 2030 mm. Taburan hujan di Malaysia tidak sekata dari sebulan ke sebulan dan dari satu tempat ke tempat yang lain kerana faktor-faktor seperti
-Tiupan angin
-Litupan awan
-Bentuk muka bumi.

Malaysia tidak mengalami musim kemarau yang nyata tetapi terdapat masa kemarau yang singkat di beberapa buah kawasan. Namun begitu, kemarau tidak berlaku setiap tahun di tempat yang sama.

Jumlah hujan tahunan
1.Melebihi 3500 mm
-Kaki bukit Kelantan dan Terengganu
-Bukit Larut di Perak
-Gunung Jerai di Kedah
-Gunung Batu Putih di Banjaran Titiwangsa

2.3000-3500 mm
-Pantai Timur Semenanjung Malaysia
-Pantai Utara Sabah
-Bahagian Tengah Sarawak

3.2500-3000 mm
-Pedalaman Pantai Timur Semenanjung Malaysia
-Bahagian Selatan Semenanjung Malaysia
-Kaki Bukit Banjaran Titiwangsa
-Pantai Barat dan Tengah Sabah

4.2000-2500 mm
-Pantai Barat Semenanjung Malaysia
-Kawasan Pedalaman Semenanjung Malaysia
-Kawasan Pedalaman Sabah

5.Kurang 2000 mm
-Daerah Jelebu dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan
-Kawasan pantai antara Kuala Selangor dengan Lumut

Kebanyakan hujan turun dalam bentuk hujan bukit dan hujan perolakan. Taburan hujan di Malaysia dipengaruhi oleh angin Monsun Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya. Selain itu, Angin Sumatera bertiup pada masa yang sama dengan angin monsun barat daya.

C.Tiupan Angin
Malaysia mengalami dua jenis tiupan angin yang utama iaitu:
-Angin Monsun Timur Laut
-Angin Monsun Barat Daya

Malaysia juga mengalami tiupan angin Sumatera yang bertiup dari Pulau Sumatera. Angin ini melanda kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya dikawasan-kawasan antara Pelabuhan Klang dan Johor Bharu.

Kawasan pinggir pantai Malaysia juga mengalami dua jenis angin tempatan iaitu bayu laut dan bayu darat.


Bayu Laut
Berlaku pada waktu siang kerana pada waktu siang daratan lebih panas cepat menjadi panas berbanding dengan lautan.

Suhu udara di permukaan daratan lebih tinggi daripada suhu di permukaan lautan.

Daratan mengalami tekanan udara rendah manakala lautan mengalami tekanan udara tinggi.

Udara bergerak dari lautan yang bertekanan tinggi ke daratan yang bertekanan rendah sebagai bayu laut.


Bayu Darat
Berlaku pada waktu malam kerana pada waktu malam daratan lebih cepat menjadi sejuk berbanding dengan lautan.

Suhu udara di permukaan daratan lebih rendah daripada suhu di permukaan lautan.

Daratan mengalami tekanan udara tinggi manakala lautan mengalami tekanan udara rendah.

Udara bergerak dari daratan yang bertekanan tinggi ke lautan yang bertekanan rendah sebagai bayu darat

D.Kelembapan Bandingan Udara
Kelembapan bandingan udara di Malaysia sentiasa tinggi kerana suhu sentiasa tinggi dan julat suhu rendah. Oleh itu, udara di negara kita sentiasa mengandungi wap air yang banyak.

Kelembapan banding udara merupakan nisbah perbandingan antara wap air yang wujud di dalam udara dengan jumlah wap air yang dapat ditampung oleh udara itu pada suhu yang tertentu

Kelembapan bandingan udara berubah-ubah mengikut suhu udara. Apabila suhu udara naik, kelembapan bandingannya turun dan apabila suhu turun, kelembapan bandingannya naik.

Lazimnya, kelembapan bandingan udara di negara kita melebihi 80%. Ini bermaksud jumlah wap air yang masih boleh ditampung ialah kira-kira 20% lagi.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Cuaca Dan Iklim Di Malaysia

A.Faktor Kedudukan Malaysia
Kedudukan Malaysia di kawasan Khatulistiwa menyebabkannya tidak mengalami kemarau yang nyata. Sebaliknya berkeadaan lembap sepanjang tahun.

Kedudukan ini juga menyebabkan Malaysia menerima pancaran matahari sepanjang tahun dengan purata 6 jam sehari.

Malaysia juga bebas daripada ancaman taufan dan siklon tropika (dikenali juga sebagai taufan di Laut China Selatan)

Kawasan yang dipengaruhi oleh siklon tropika ialah antara garisan lintang 6U hingga 20U. Siklon tropika merupakan ribut kecang yang bertiup menuju ke kawasan tekanan rendah di lautan tropika.

B.Faktor Tiupan Angin Monsun
Malaysia menerima dua jenis angin monsun yang utama, iaitu

1.Angin Monsun Timur Laut
Angin Monsun Timur Laut bertiup antara bulan November hingga Mac dan membawa hujan bukit yang lebat ke kawasan yang menghadap Laut China Selatan kerana angin ini bertiup dari laut.

Kawasan-kawasan yang menerima hujan lebat dalam musim ini (lebih daripada 1500 mm) ialah:
-Pantai timur Semenanjung Malaysia
-Bahagian selatan Banjaran Bintang
-Bahagian tengah Banjaran Titiwangsa
-Pantai utara Sabah (Kudat dan Sandakan)
-Hampir seluruh negeri Sarawak

Kawasan yang menerima hujan sedikit dalam musim ini (kurang daripada 1000 mm) ialah:
-Kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian barat laut dan barat daya (terlindung oleh Banjaran Titiwangsa).
-Kawasan sekitar Tawau dan pedalaman Sabah.

B.Angin Monsun Barat Daya
Angin Monsun Barat Daya bertiup antara bulan Mei hingga September. Angin ini tidak membawa hujan lebat kerana dihalang oleh kawasan tanah tinggi di Pulau Sumatera dan Kalimantan.

Kawasan yang menerima hujan yang lebat dalam musim ini (melebihi 1500 mm) ialah:
-Bukit Larut dan Gunung Jerai
-Kawasan gunung Batu Putih di Banjaran Titiwangsa
-Kawasan Tanah Tinggi di Terengganu
-Kawasan Tanah Tinggi di pedalaman Sabah
-Pantai Barat Sabah

Daerah Kuala Pilah, di Negri Sembilan menerima hujan sedikit dalam musim ini (lebih kurang 1000 mm) kerana terletak dalam kawasan lindung hujan.

Kawasan lindung hujan
Bermaksud kawasan lereng bukit yang tidak mendapat hujan yang banyak. Ia terlindung daripada angin yang membawa hujan.

Kedua-dua jenis angin monsun ini mempengaruhi cuaca dan iklim di Malaysia.

C.Faktor Ketinggian
Ketinggian sesuatu kawasan boleh mempengaruhi suhu tempatan. Kawasan yang lebih rendah mempunyai suhu yang lebih tinggi, manakala kawasan yang lebih tinggi mengalami suhu yang lebih rendah.

Suhu turun dengan kadar 1C bagi setiap kenaikan 165m dari aras laut.

Contohnya Subang Jaya, Kuala Lumpur yang terletak di kawasan tanah rendah (40m dari aras laut) mempunyai min suhu tahunan 27.7C. Manakala min suhu tahunan di Tanah Tinggi Cameron (1 488m dari aras laut) ialah 17.8C.

Lapisan udara yang lebih hampir dengan permukaan bumi dipanaskan oleh haba dari bumi. Manakala lapisan udara yang semakin tinggi kurang mendapat haba dari bumi.

Oleh itu kawasan yang lebih tinggi mempunyai suhu yang lebih rendah.

D.Faktor Kepulauan
Malaysia dikelilingi oleh kawasan laut yang luas dan mempunyai sifat kepulauan.

Pada waktu siang, kawasan laut adalah lebih lambat panas berbanding dengan kawasan darat. Ini merendahkan suhu di kawasan pinggir pantai dan menjadikan suhunya sederhana panas.

Manakala pada waktu malam pula, kawasan laut lambat sejuk berbanding dengan kawasan daratan. Keadaan ini meninggikan suhu di kawasan pinggir pantai dan menjadikan suhunya sederhana sejuk.

Pengaruh Cuaca Dan iklim Terhadap Kegiatan Manusia


Pengenalan
Dunia kita boleh dibahagikan kepada beberapa zon iklim. Setiap zon iklim yang sama mempunyai sifat iklim, tumbuh-tumbuhan semulajadi, tanam-tanaman dan kegiatan manusia yang hampir sama.Zon iklim terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu:

Zon Sejuk
Iklim Artik atau Tundra

Zon Sederhana
Iklim Jenis British
Iklim Jenis Mediterranean
Iklim Jenis China
Iklim Jenis Siberia
Iklim Jenis Steppe
Iklim Jenis Lauretia

Zon Panas / Zon Tropika
Iklim Gurun Panas
Iklim Monsun Tropika
Iklim Jenis Savana
Iklim Khatulistiwa

Pengaruh Cuaca Dan Iklim Terhadap Kegiatan Manusia
Kewujudan zon iklim yang berbeza di dunia adalah disebabkan oleh pancaran matahari yang tidak sekata kerana bumi berbentuk sfera. Iklim yang berbeza ini telah menpengaruhi cara hidup dan kegiatan manusia yang berbeza mengikut kawasan zon iklim.


1 Zon Panas
Zon panas terletak di kawasan tropika, iaitu antara Garisan Sartan (23 1/2 U ) dan Garisan Jadi (23 1/2 S ). Zon ini mengalami keadaan panas sepanjang tahun. Zon Panas mempunyai empat jenis iklim, iaitu:
-Iklim Khatulistiwa
-IIklim Monsun Tropika
-Iklim jenis Savana/Sudan
-Iklim Gurun Panas

Gurun Thar
Merupakan contoh gurun panas yang terletak di sempadan dua buah negara iaitu India dan Pakistan. Keluasannya adalah kira-kira 455 000 km persegi. Gurun ini dikenali sebagai "The Great India Desert".

Ciri-ciri Iklim Gurun Thar
Gurun Thar mengalami iklim yang panas dan kering sepanjang tahun.

Langit di kawasan gurunnya tidak berawan dan ini menyebabkan:
-Suhu pada waktu siang sangat panas, min suhunya kira-kira 38 darjah C
-Manakala pada waktu malam sangat sejuk dengan suhu kira-kira 10 darjah C
-Min suhu tahunan ialah antara 27 darjah C - 35 darjah C.
-Julat suhu harian juga tinggi iaitu kira-kira 22 darjah C - 32 darjah C
-Hujan tahunan rendah,kurang 250mm
-Dipengaruhi Angin Timuran yang kering.


Cara Hidup Penduduk Di Gurun Thar
Penduduknya terdiri daripada orang-orang nomad.

Kegiatan utama penduduk ialah menternak binatang.

Antara binatang yang diternak ialah kambing, biri-biri, unta dan keldai. Lembu dan unta diternak untuk mendapatkan susu dan dijadikan binatang pengangkut serta membajak tanah.

Orang nomad hidup secara berpindah-randah untuk mencari kawasan rumput baru kerana di gurun kawasan rumput adalah terhad dan tumbuh di kawasan tertentu sahaja.

Rumah orang-orang nomad adalah ringkas dan diperbuat daripada jerami dan dahan- dahan kayu. Keadaan ini sesuai dengan corak hidup masyarakat nomad yang sentiasa berpindah-randah.

Selain itu, penduduk Gurun Thar ada juga yang mendirikan petempatan kekal. Kebanyakannya dibina di kawasan yang berhampiran dengan mata air atau anak sungai.

Mereka hidup secara berladang. Antara tanaman yang ditanam seperti gandum, kapas, bijian dan sayur-sayuran.

Mereka juga menternak unta, lembu, kambing dan biri-biri untuk mendapatkan susu, daging dan bulu.

Kegiatan pertanian mereka adalah mengikut perubahan musim. (Lihat di bawah)

Sebelum musim monsun
Pertengahan bulan Mac hingga pertengahan bulan Jun
-Cuaca panas dan kering
-Kelembapan udara rendah
-Kadar sejatan tinggi
-Pertanian kurang atau tidak dijalankan
-Membuat persediaan kedatangan monsun seperti mengali perigi.

Semasa musim monsun
Pertengahan bulan Jun hingga bulan September
-Hujan mula turun
-Tumbuh-tumbuhan hijau dan bunga-bungaan mula tumbuh.
-Petani memulakan kerja-kerja menyemai benih dan bercucuk tanam.

Selepas musim monsun
Pertengahan bulan September hingga pertengahan bulan November
-Tumbuhan dan tanaman mula bertukar warna menjadi perang kekuningan.
-Petani mula mengumpul hasil-hasil pertanian.
-Membiak kambing dan biri-biri


2 Zon Sederhana
Zon sederhana terletak di kawasan tropika, iaitu antara Garisan Sartan (23 1/2 U ) dengan Garisan Artik ( 66 1/2 U) dan Garisan Jadi (23 1/2 S ) dengan Garisan Antartik (66 1/2 S ). Zon ini mengalami kejadian 4 musim iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk. Jenis-jenis iklim di zon sederhana termasuklah:
-Iklim Mediterranean
-IIklim Steppe
-Iklim Jenis China
-Iklim Jenis British
-Iklim Siberia
-Iklim Jenis Laurentia

Siberia
Iklim Siberia ialah iklim sejuk sederhana kebenuaan
Musim panasnya pendek dan sederhana panas ( 15 darjah C - 20 darjah C ).
Musim sejuknya panjang iaitu selama 6 bulan dan sangat sejuk iaitu antara - 5 darjah C hingga 17 darjah C. Julat suhu tahunan adalah besar iaitu melebihi.
Jumlah kerpasan tahunan adalah sedikit iaitu kira-kira 500 mm. Kebanyakannya turun pada musim panas dalam bentuk hujan perolakan. Pada musim sejuk, kerpasan turun dalam bentuk salji.

Cara Hidup Penduduk Di Siberia

Penduduk di kawasan barat dan barat daya menjalankan pertanian campur. Ini kerana kawasan tersebut mengalami iklim yang lebih sejuk. Tanaman utamanya ialah gandum, oat, ubi kentang dan fleks. Penternakan lembu tenusu dan daging juga dijalankan.Pembalakan pokok tirus (pain, sprus, dan fir ) merupakan kegiatan ekonomi utama di kawasan Siberia. Kegiatan menjerat binatang seperti tupai, musang, rubah putih dan mink dijalankan pada musim sejuk. Kegiatan perlombongan gas asli dan petroleum, batu permata, emas, arang batu dan kuprum juga dijalankan di siberia


3 Zon Sejuk
Terletak di antara latitud 66 1/2 darjah U/S dengan 90 darjah U/S. Zon sejuk ini meliputi kawasan Artik, Greenland, Iceland dan Alaska di hemisfera utara dan Antartika di hemisfera selatan

Greenland
Terletak berhampiran dengan Kutub Utara. Merupakan pulau yang terbesar di dunia.Mengalami iklum Artik iaitu iklim tundra. Mengalami 24 jam waktu siang antara Jun hingga Ogos. Oleh itu ia digelar sebagai "Tanah bermatahari pada tengah malam"Sejuk sepanjang tahun.Musim sejuknya sangat sejuk dan panjang.Suhunya antara - 22 darjah C hingga -4 darjah C. Musim panasnya singkat dan sederhana sejuk. Suhunya antara 1 darjah C hingga 5 darjah C. Jumlah kerpasan tahunannya sangat rendah iaitu kurang daripada 250mm. Kebanyakkanya turun dalam bentuk salji. Ribut salji dan dan angin kencang sering berlaku pada musim sejuk.

Cara Hidup Penduduk Di Greenland





Penduduk Greenland terdiri daripada orang Eskimo atau Inuit. Mereka hidup secara berpindah-randah mengikut perubahan musim. Orang Eskimo tinggal dalam igloo. Andur salji merupakan pengangkutan darat yang utama. Selain itu kereta salji berenjin atau skuter juga digunakan. Pada musim sejuk, orang Eskimo mejalankan aktiviti menangkap ikan, memburu anjing laut, dan sunga laut melalui lubang ais yang dibuat. Manakala pada musim panas, mereka akan menggunakan kayak sebagai pengangkutan utama. Selain itu mereka juga menggunakan umiak (perahu besar) untuk menangkap ikan paus di laut. Pada musim panas, aktiviti menangkap ikan dilakukan dengan harpuan dan lembing. Ikan- ikan yang di tangkap termasuklah ikan kod, solomon dan ikan paus. Selain itu, pada musim panas mereka juga mejalankan aktiviti memburu binatang seperti anjing laut, musang artik, singa laut, karibu, dan beruang kutub.

Pengaruh Cuaca Dan Iklim Terhadap Ekonomi Malaysia
Faktor cuaca dan iklim telah memberi pengaruh yang besar terhadap kegiatan ekonomi penduduk Malaysia terutamanya kegiatan pertanian, perikanan, pelacongan, pembalakan dan perindustrian

1 Ekonomi Pertanian

Iklim yang lembap dan panas sepanjang tahun dengan purata suhu menggalakkan pertumbuhan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, getah, koko, lada hitam dan sebagainya.

Hujan lebat sepanjang tahun iaitu berjumlah 2060 mm telah membekalkan sumber air kepada tanaman. Keadaan ini amat sesuai untuk tanaman padi.

Suhu yang sederhana di sesetengah kawasan tinggi iaitu seperti di Ranau (Sabah), Tanah Tinngi Cameron (Pahang) telah menggalakkan tanaman hawa sederhana, bunga-bungaan dan teh secara meluas.

Penanaman tembakau di Dataran Kelantan menjalankan proses menanam tembakau pada musim kemarau di kawasan sawah padi iaitu selepas padi dituai.

2 Ekonomi Perikanan

Cuaca dan iklim turut mempengaruhi kegiatan nelayan di pantai timur Semenanjung, pinggir laut Sarawak dan pantai utara Sabah yang menangkap ikan di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Mereka tidak dapat turun ke laut ketika tiupan angin monsun timur laut ('Musim Tengkujuh") kerana tiupan angin kencang dan laut bergelora yang boleh merbahayakan nelayan bot kecil.

Pada musim ini mereka melakukan kerja-kerja embaiki jaring, mengambil upah, bekerja sambilan atau berniaga kecil-kecilan.

Nelayan di pantai barat dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan sepanjang tahun di perairan Selat Melaka kerana perairanya tenang sepanjang tahun.

Sekali-sekala terdapat tiupan angin kencang daripada angin Sumatera di perairan Selat Melaka yang berlaku ketika peralihan angin monsun iaitu antara bulan April- Oktober.

3 Ekonomi Pelancongan
Kegiatan pelancongan dapat dijalankan sepanjang tahun kerana iklim Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun yang tidak mempunyai musim sejuk bersalji.

Pelacong asing dan tempatan dapat melancong ke destinasi pelancongan sepanjang tahun seperti di Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan sebagainya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

4 Ekonomi Pembalakan
Iklim khatulistiwa menggalakkan pertumbuhan hutan hujan tropika di Malaysia.

Hutan ini menggalakkan perkembangan kegiatan penebangan pelbagai jenis kayu-kayan tropika seperti keruing, cengal, balau, mersawa dan meranti.

5 Industri Desa
Pengusaha makanan ringan seperti keropok dan belacan bergantung kepada cuaca yang panas dan bermatahari untuk menjemur bahan-bahan makanan tersebut.

Membandingkan Iklim Dan Kehidupan Penduduk Di Malaysia Dengan Di Negara-negara Lain

Malaysia
Jenis Iklim - Khatulistiwa

Ciri-ciri Iklim - Panas dan lembap sepanjang tahun.Min suhu tahunan C. Julat suhu tahunan kecil C. Hujan tahunan sekitar 2 600 mm. Kebanyakan hujan turun dalam bentuk hujan perolakan. Kelembapan udara tinggi. Litupan awan tebal.

Penyesuaian Cara Hidup - Kegiatan pertanian dapat dijalankan sepanjang tahun. Aktiviti penangkapan ikan di pantai timur Semenanjung Malaysia terganggu pada musim Monsun Timur Laut.

Gurun Thar
Jenis Iklim - Gurun Panas

Ciri-ciri Iklim - Panas dan kering sepanjang tahun. Min suhu tahunan antara . Julat suhu harian dan tahunan tinggi. Hujan tahunan kurang daripada 250 mm .Tiada litupan hujan.

Penyesuaian Cara Hidup -Aktiviti pertanian dilakukan semasa musim monsun (Jun-September). Penduduk nomad berpindah-randah mencari rumput untuk ternakan

Kawasan Siberia
Jenis Iklim Sejuk Sederhana Kebenuaan (Iklim Siberia)

Ciri-ciri Iklim - Musim panas pendek dan sederhana panas. Musim sejuk panjang dan sangat sejuk. Julat suhu tahunan besar, . Jumlah hujan tahunan 500 mm. Hujan maksimum pada musim panas dalam bentuk hujan perolakan. Kerpasan dalam bentuk salji pada musim sejuk.

Penyesuaian Cara Hidup -Kegiatan menjerat binatang pada musim sejuk. Pertanian campur di kawasan yang lebih panas. Pembalakan hutan konifer pada musim sejuk.

Greenland
Jenis Iklim - Tundra (Artik)

Ciri-ciri Iklim -Musim panas pendek dan sedrhana sejuk. Musim sejuk panjang dan terlampau sejuk. Julat suhu tahunan besar. Jumlah hujan tahunan 250 mm . Hujan maksimum pada musim panas. Salji turun pada musim sejuk. Ribut salji dan angin kencang pada musim sejuk.

Penyesuaian Cara Hidup -Kegiatan pertanian tidak dapat dijalankan kerana permukaan bumi sentiasa dilitupi ais. Penduduk (Orang Eskimo) hidup secara berpindah-randah mengikut perubahan musim.

Soalan
Arahan : Pilih jawapan yang betul

-Julat suhu harian besar
-Kemarau sepanjang tahun

1.Maklumat di atas menerangkan keadaan di kawasan yang mengalami iklim jenis .......
A Khatulistiwa
B Mediterranean
C Gurun panas
D Tundra

-Musim panas singkat dan sederhana panas
-Musim sejuk amat sejuk dan panjang
-Hujan tahunan 500 mm

2.Pernyataan di atas menerangkan ciri-ciri iklim di kawasan...................
A Malaysia
B Gurun Thar
C Siberia
D Greenland

3. Kedudukan Greenland yang berhampiran dengan Kutub Utara menyebabkannya mengalami
A Empat musim yang nyata
B Panas dan lembap sepanjang tahun
C Julat suhu tahunan yang besar
D Suhu yang melampau sejuk

4. Antara berikut, pernyataan manakah yang benar tentang cara hidup di Gurun Thar ?
A Kegiatan penanaman buah-buahan adalah penting
B Penduduk menternak binatang secara nomad
C Kegiatan utama ialah memburu binatang
D Penanaman gandum dijalankan secara meluas

-Andur salji
-Umiak
-Kayak

5.Senarai di atas adalah berkaitan dengan cara hidup orang Eskimo sebagai
A Alat pemburuan
B Tempat tinggal
C Alat menangkap ikan
D Alat pengangkutan

Pengaruh Manusia terhadap cuaca dan iklim

Pengenalan
Manusia menjalankan pelbagai kegiatan untuk mencapai kemajuan. Kegiatan seperti penebangan hutan, industri perkilangan dan pembakaran hutan secara terbuka telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu, berlakunya jerebu, hujan asid, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, pulau haba dan kemarau. Melalui unit ini, kita akan dapat mengkaji bagaimana kegiatan manusia akan menyebabkan terjadinya kesan-kesan ini terhadap cuaca dan iklim.



Latihan

- Bangunan konkrit menyerap haba matahari
- Pencemaran di bandar

1 Antara berikut yang manakah boleh dikaitkan dengan maklumat di atas?
I Suhu bandar menjadi tinggi
II Kesan kenaikan suhu disebut kesan pulau haba
III kandungan oksigen di dalam udara meningkat
IV kandungan gas karbon dioksida di dalama udara menurun

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

2 Faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan pulau haba bandar ialah
I pembinaan bangunan konkrit
II pertambahan pengangkutan awam
III mengawal pembakaran sampah secara terbuka
IV penebangan hutan

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

3 Langkah-langkah mengurangkan gejala pulau haba bandar ialah:
I memelihara tumbuh-tumbuhan
II memusnahkan tumbuh-tumbuhan
III memelihara hidupan liar
IV menyediakan hutan rekreasi

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

4 Antara kawasan berikut, yang manakah mungkin mengalami kesan pulau haba bandar.

A Pulau Langkawi
B Pulau Redang
C Pulau Pinang
D Pulau Perhentian

5 Antara berikut, bagaimanakah bangunan tinggi di bandar boleh menyebabkan suhu bandar semakin meningkat?
I Menghalang aliran angin sejuk
II Menyerap haba cahaya matahari
III Memantul cahaya matahari
IV Mempercepat pelepasan haba ke angkasa

A I, II dan III
B I, II dan IV
C I, III dan IV
D II, III dan IV
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...