03 Julai 2009

Petempatan


Pengenalan
Petempatan merupakan sesuatu tempat manusia tinggal dan berinteraksi antara satu dengan yang lain melalui pelbagai aktiviti. Antara aktiviti itu termasuklah pertanian dan perikanan, perlombongan, pembalakan, perindustrian, perniagaan, dan perkhidmatan. Terdapat petempatan berselerak di kawasan kebun kecil. Ada juga petempatan yang terdiri daripada beberapa buah rumah yang lengkap dengan kedai, bangunan komersial, dan taman rekreasi. Bandar Georgetown adalah petempatan yang padat. Penduduknya menjalankan pelbagai jenis kegiatan ekonomi. Di negara Malaysia, petempatan bermula daripada petempatan yang kecil dengan kegiatan ekonomi yang terhad

Sejarah Petempatan awal
Pada masa dahulu, manusia hidup secara nomad. Mereka berpindah-randah untuk mencari makanan dengan memburu binatang dan mengumpul buah-buahan. Kira-kira 8 000 S.M, cara hidup mereka mula berubah. Manusia mula pandai mentemak binatang seperti lembu, biri-biri, dan kambing. Mereka juga menanam tanaman seperti padi, gandum, dan jagung. Perkembangan ini menyebabkan manusia tinggal dan menetap di sesuatu tempat. Seterusnya, manusia mempelbagaikan kegiatan dan menjalankan aktiviti bukan pertanian seperti perniagaan dan perkhidmatan.Petempatan awal di dunia bermula di lembangan sungai, iaitu di Lembangan Sungai Tigris-Euphrates (Mesopotamia), Lembangan Sungai Nil, Lembangan Sungai Indus, dan Lembangan Sungai Hwang He. Keempat-empat petempatan awal ini juga merupakan tamadun yang paling awal. Lihat peta di bawah


Faktor-faktor yang menggalakkan manusia menetap di keempat-empat lembangan sungai tersebut adalah hampir sama. Keempat-empat kawasan ini mempunyai keadaan yang sesuai untuk petempatan dan aktiviti pertanian. Antaranya termasuklah:
-Dataran sungai yang rata,subur, serta kaya dengan tanih aluvium.
-Terdapat kawasan rumput untuk temakan.
-Sungai menyediakan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pengairan.
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan.

Petempatan Awal Di Malaysia
Gua, muara sungai, dan tepi laut merupakan petempatan awal di Malaysia. Gua menjadi pilihan petempatan awal kerana terlindung daripada serangan musuh, binatang buas, dan cuaca buruk. Contoh kawasan gua ialah Gua Niah (Sarawak) dan Gua Kota Tampan di Lenggong (Perak)



Faktor-faktor yang menggalakkan petempatan awal di lembangan sungai ialah:
-Kawasan rata yang subur dan tanih aluvium
-Sungai membekalkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian
-Sungai membekalkan sumber makanan seperti ikan, udang, dan ketam
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan , perniagaan, dan perdagangan
-Terlindung daripada ancaman binatang buas

Pertanian merupakan kegiatan utama di kawasan petempatan awal. Muara sungai menjadi petempatan awal disebabkan oleh faktor-faktor berikut:
-Tanah pamah dan tanih aluvium yang subur untuk pertanian.
-Mudah memperoleh bekalan air
-Sungai membekalkan sumber makanan
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan mudah dan utama

Kawasan muara sungai yang menjadi petempatan awal ialah Melaka (Sungai Melaka), Lembah Bujang (Sungai Merbok), dan Kerajaan Johor-Riau (Sungai Johor). Kawasan pantai juga menjadi kawasan petempatan awal kerana laut merupakan salah satu jalan pengangkutan utama.

Jenis Petempatan Di Malaysia
Jenis petempatan terbahagi kepada dua, iaitu petempatan bandar dan petempatan luar bandar. Faktor yang membezakan jenis petempatan ini ialah dari segi fungsi, saiz penduduk dan kepadatan penduduk. Jenis petempatan ini dapat dilihat seperti di bawah.

Petempatan bandar
Ia mempunyai jumlah penduduk melebihi 10000 orang. Kepadatan penduduk adalah tinggi.
Aktiviti ekonominya lebih mengutamakan perniagaan, perdagangan, perkilangan dan perkhidmatan. Contoh petempatan bandar ialah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu

Petempatan luar bandar
Ia mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 10000 orang. Kepadatan penduduk adalah sederhana atau jarang. Aktiviti ekonominya lebih mengutamakan pertanian, pembalakan, perlombongan dan perikanan. Contoh petempatan bandar ialah Lenggong, Pengkalan Hulu, Bagan Datoh dan Beserah

Petempatan Luar Bandar Dan Faktor Penentu Tapak
Terdiri daripada petempatan kampung dan pekan. Petempatan kampung mempunyai penduduk antara 1 hingga 1 999 orang. Petempatan pekan mempunyai penduduk antara 2000 hingga
9 999 orang. Menjalankan kegiatan pertanian dan perikanan seperti di Dataran Kedah-Perlis - menanam padi dan Pulau Ketam - petempatan nelayan

Faktor yang mempengaruhi petempatan luar bandar ialah seperti dalam jadual di bawah:
1. Bentuk muka bumi
Kawasan tanah pamah - Memudahkan pembinaan petempatan dan penanaman padi . Contoh: Dataran Kedah, Sungai Manik
Kawasan beralun - Sesuai untuk penanaman getah, kelapa sawit, dan nanas. Contoh: Dataran pantai barat SemenanjungMalaysia
Lembah di kawasan tanah tinggi - Sesuai untuk tanaman hawa sederhana. Contoh: Nalapak di Sabah

2. Sumber air
Untuk kegunaan harian, mengairi kawasan tanaman, dan aktiviti menangkap ikan. Contoh: Sungai Perak, Sungai Kelantan

3. Tanih
Dataran sungai yang kaya dengan tanih aluvium yang kaya dengan tanih aluvium untuk penanaman padi Contoh: Dataran Sungai Rajang

4. Kegiatan ekonom.
Pertanian, perikanan, perlombongan Contoh: Kuala Sedili, Mukah, Kuala Besut

5. Ketersampaian
Berhampiran dengan jalan raya, sepanjang pinggir pantai, dan sungai
Contoh: Kampung Merang di Terengganu menghadap Laut China Selatan, Sungai Rajang dapat dimudiki hingga ke Kapit

6. Dasar kerajaan
Pembukaan tanah oleh FELDA
Contoh: Felda Jengka di Pahang, Felda Air Tawar di Kota Tinggi

Pola Petempatan
Pola Petempatan Berselerak


Terdapat di kawasan luar bandar. Rumah dibina berselerak tanpa susunan yang tetap serta dipengaruhi juga oleh bentuk muka bumi.
Dibina di tanah pertanian yang dimiliki sendiri.
Terdapat di kawasan kebun-kebun kecil getah, kelapa dan padi.
Jarak antara bangunan adalah berjauhan antara satu sama lain.

Pola Petempatan Berjajar


Rumah dibina dalam satu barisan yang panjang lagi sempit.
Pola ini terdapat di sepanjang jalan raya, sungai, kaki bukit, permatang, benteng, tali air, dan pinggir laut. Ia juga dikenali sebagai petempatan linear

Pola Petempatan Berpusat


Rumah dirapat dan padat dalam satu kawasan.
Terdapat di kawasan seperti bandar, bandaraya, kampung baru, ladang getah dan ladang kelapa sawit. Mempunyai jaringan jalan raya yang baik.
Petempatan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan

Pola Petempatan Berkelompok


Petempatan berkelompok ialah susun atur rumah-rumah secara berkelompok di sesuatu kawasan seperti petempatan FELDA. Petempatan jenis ini terdapat di simpang jalan raya, jalan kereta api dan muara sungai. Susun atur rumah dan bangunan di petempatan berkelompok yang terancang adalah lebih teratur

Fungsi Petempatan Luar Bandar
1. Aspek Ekonomi
Pertanian dan perikanan : Contoh petempatan luar bandar yang bertungsi sebagai pusat pengeluar hasil pertanian dan perikanan ialah Dataran Kedah-Perlis, Tanah Tinggi Cameron, dan Dataran Kelantan

Industri kecil : Contoh petempatan luar bandar yang menjalankan industri kecil ialah Kampung Bahagian, Air Hitam, Pulau Pangkor

Pembalakan : Contoh petempatan luar bandar yang bertungsi sebagai pengeluar sumber hutan ialah Sabah dan Sarawak

Rekreasi dan pelancongan : Contoh petempatan luar bandar yang menjalankan aktiviti agropelancongan ialah Taman Agro Sungai Udang dan Taman Agro Selandar

Perniagaan kecil-kecilan : Contohnya kedai runcit

2. Aspek Sosial
Kemudahan awam : Contohnya ialah pejabat pos, klinik desa, kemudahan teleton awam

Pendidikan : Contohnya ialah tadika, sekolah rendah, dan sekolah menengah

Budaya dan sosial : Balai raya, masjid, dewan orang ramai

3. Aspek Politik
-Berfungsi sebagai pusat pentadbiran kecil-kecilan
-Ketua Kampung atau Tok Sidang menjalankan fungsi pentadbiran di kampung
-Penghulu atau Penggawa mentadbir kampung
-Tuai Rumah mengetuai rumah panjang
-Tuai Batin mengetuai perkampungan orang asli

Soalan
Pilih jawapan yang betul

- Memberi perlindungan semulajadi daripada binatang buas.
- Melindungi daripada cuaca panas dan hujan.

1.Pernyataan di atas merujuk kepada jenis petempatan awal..........
A muara sungai
B pinggir pantai
C gua
D tebing sungai

2. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi lokasi petempatan awal di negara Malaysia?
I Kegiatan ekonomi
II Tanih
III Air
IV Keselamatan

A I,II, dan III
B I, II, dan IV
C I, III dan IV
D II, III, dan IV

- Dataran Kedah-Perlis
- Dataran Kelantan

3. Apakah jenis kegiatan yang menyebabkan wujud petempatan luar bandar di tempat-tempat di atas?
A Pertanian
B Pembalakan
C Perikanan
D Perlombongan

4. Mengapakah Gua Musang di Kelantan menjadi tapak untuk mendirikan petempatan?
A Kegiatan pertanian dijalankan
B Petempatan semula penduduk ke kawasan tersebut
C Terdapat kemudahan pengangkutan
D Terdapat pelabuhan utama

5. Antara berikut, faktor yang manakah menyebabkan sungai sering menjadi tumpuan penduduk?
A Bebas dari pelbagai ancaman alam.
B Tanih aluvium yang subur
C Permukaan bumi yang beralun
D Jaringan pengangkutan maju

- Kukup
- Pulau Ketam
- Beserah

6. Petempatan di atas dikaitkan dengan kegiatan......................
A pertanian
B perikanan
C perdagangan
D perlombongan

7. Antara berikut yang manakah merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi petempatan di Malaysia?
A Sejarah
B Budaya
C Fizikal
D Ekonomi

A I, II, dan III
B I, II, dan IV
C I, III, dan IV
D II, III, dan IV

8. Berikut adalah kawasan yang diterokai oleh kerajaan melalui rancangan kemajuan tanah kecuali,
A FELDA
B KEJORA
C MADA
D DARA

9. Antara berikut ciri-ciri fizikal yang manakah menggalakkan petempatan di Malaysia?
A kawasan yang terlalu rendah
B kawasan yang berhutan tebal
C kawasan paya yang sentiasa dibanjiri air
D tanah pamah yang rata,subur dan bersaliran baik

Pembandaran


Pengenalan
Proses pembandaran menyebabkan jumlah penduduk bandar bertambah dengan pesat disebabkan oleh ramai penduduk bertumpu di kawasan bandar. Proses pembandaran atau urbanisasi merupakan proses perkembangan sesebuah bandar dari segi saiz penduduk, luas kawasan, fungsi, dan kemudahan infrastruktur. Proses ini juga menyebabkan perubahan dalam ekonomi, sosial. Sebagai contoh, kegiatan ekonomi telah berubah daripada kegiatan pertanian kepada perindustrian, perdagangan, dan perkhidmatan.

Trend Pembandaran Di Negara Malaysia
Selepas kemerdekaan, proses pembandaran di Malaysia bertambah dengan pesat. Keadaan ini dapat dilihat dari segi saiz penduduk, kegiatan ekonomi, dan kemudahan infrastruktur. Dari segi saiz penduduk, jumlah penduduk di bandar telah bertambah berbanding dengan jumlah penduduk di luar bandar. Sebagai contoh, terdapat 61.8% penduduk Malaysia yang tinggal di bandar-bandar utama pada tahun 2000.

Faktor Yang Mempengaruhi Pembandaran Di Malaysia
Dasar kerajaan membuka beberapa zon industri, seperti zon industri ringan di Kepong, Zon Perdagangan Bebas di Petaling Jaya, Bayan Lepas, dan Pasir Gudang.
Bandar-bandar baru yang berkembang sebagai bandar perindustrian ialah Shah Alam, Kerteh, Ayer Keroh, dan Senawang.
Kawasan luar bandar dibangunkan seperti Rancangan Tanah Kerajaan di Pahang, Negeri Sembilan, dan Sabah.

Taraf pendidikan semakin baik di bandar seperti di Bangi, Sintok, dan Skudai

Perkembangan jaringan jalan raya yang baik di bandar-bandar besar seperti bas, teksi, LRT, dan Monorel.

Migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar disebabkan peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur yang baik, dan pusat hiburan

Sumber mineral - penerokaan sumber mineral seperti petroleum, gas asli dan bijih timah telah membangunkan bandar-bandar seperti Miri dan Kerteh.

Peluang pekerjaan - terdapat banyak sektor swasta dan kerajaan yang menyediakan peluang pekerjaan

Fungsi Petempatan Bandar Di Malaysia
Pusat pentadbiran
Bandar besar menjadi ibu kota seperti Kuantan, Georgetown, Ipoh, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu. Putrajaya telah menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pusat perindustrian
Kerajaan telah membuka dan memajukan banyak kawasan industri melalui Dasar Perindustrian Negara. Kawasan ini membekalkan banyak peluang pekerjaan.

Pusat perniagaan dan perdagangan
Di bandar-bandar besar terdapat pusat membeli-belah yang bertaraf dunia seperti Sogo, Lot 10, Times Square, dan Suria KLCC. Bandar juga lengkap dengan pelbagai kemudahan kewangan dan perdagangan antarabangsa seperti HSBC dan Citibank.

Pusat pendidikan
Terdapat pelbagai jenis institusi pendidikan tinggi di bandar seperti:
-Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
-Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
-Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Pusat pengangkutan dan perhubungan
Jalan raya
-Lebuh raya Utara-Selatan
-Lebuh raya Timur-Barat
-Jalan raya bertingkat

Jalan kereta api
-LRT, Komuter, ERL, Monorel

Pusat pelancongan
Kuala Lumpur - Muzium Negara, Zoo Negara, Pasar Seni
Melaka - Kota A Famosa, Stadhuys, Gereja St. Paul
Pulau Langkawi - Pulau bebas cukai, tempat bersejarah

Pusat pengumpulan dan pemprosesan
Kota Bharu dan Tanjung Karang - Padi

Kesan- kesan Pembandaran Di Negara Malaysia
Kesan Positif Pembandaran

1. Pertambahan peluang pekerjaan
Proses pembandaran menyebabkan perkembangan pelbagai jenis sektor ekonomi di bandar yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Peluang pekerjaan boleh didapati dalam sektor perindustrian, perdagangan, perniagaan, perkhidmatan, dan pentadbiran

2. Peningkatan kemudahan intrastruktur
Pertambahan penduduk di sesuatu kawasan hasil daripada proses pembandaran telah menyebabkan peningkatan keperluan kemudahan intrastruktur.
Sistem pengangkutan yang cepat terdapat di bandarayaKuala Lumpur. Contohnya ialah Sistem Pengangkutan Aliran Ringan (LRT), komuter, dan monorel.
Selain itu, pusat kesihatan, hospital, pusat pendidikan awam dan swasta, dan rumah-rumah kos rendah turut ditambahkan sejajar dengan pertambahan penduduk.

3. Peningkatan taraf hidup
Peluang pekerjaan yang mencukupi dan pendapatan yang tinggi di bandar membolehkan penduduk menikmati taraf hidup yang lebih selesa dan moden.
Mereka yang menerima tahap pendidikan yang tinggi boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik serta gaji yang lebih lumayan. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup mereka.
Kemudahan seperti sekolah, hospital, klinik, jalan raya, bekalan air dan elektrik, pusat rekreasi membolehkan penduduk mendapat kemudahan asas yang sempuma dan rawatan kesihatan yang baik.

Kesan Negatif Pembandaran
1. Kesesakan lalu lintas
Kesesakan lalu lintas merupakan masalah yang berlaku hasil daripada pertambahan hilangan kenderaan yang pesat di bandar.

Jaringan jalan raya yang kurang cekap dan keadaan jalan yang kurang memuaskan juga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

2. Pencemaran

Jumlah kenderaan yang semakin bertambah di bandar telah menyebabkan pencemaran udara.

Pelepasan gas-gas bertoksik seperti karbon dioksida, sulfur oksida, karbon monoksida, dan oksida nitrogen telah mencemarkan udara dan menyebabkan berlakunya hujan asid dan masalah pulau haba.

Pertambahan kawasan perindustrian juga menyebabkan pencemaran udara dan air. Pembuangan sisa kilang dan udara kotor telah mencemarkan air sungai dan udara.

Pertambahan penduduk juga mendatangkan isu pencemaran. Pembuangan sampah sarap yang tidak terkawal telah mencemarkan sungai.

3. Banjir kilat

Banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar disebabkan oleh bangunan konkrit dan jalan raya yang berturap.

Apabila hujan turun, air larian permukaan tidak dapat diserap ke dalam tanah kerana dihalang oleh jalan raya yang berturap.
Keadaan ini menyebabkan banjir kilat berlaku, Sistem perparitan dalam bandar yang kurang sempurna telah memburukkan lagi masalah ini.

4. Pertambahan kawasan setinggan
Pertambahan penduduk di bandar hasil daripada penghijrahan penduduk dari luar bandar telah menimbulkan masalah kekurangan tempat tinggal.

Masalah setinggan di bandar disebabkan oleh kekurangan perumahan, kadar sewa rumah, dan harga tanah yang tinggi.

Kawasan setinggan juga dapat menimbulkan isu sosial seperti masalah keselamatan, kesihatan, dan sebagainya.

5. Kekurangan tenaga kerja di luar bandar
Faktor tarikan di bandar telah menyebabkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

Golongan muda yang berpendidikan tinggi lebih gemar mencari pekerjaan dalam sektor perindustrian, perdagangan, dan perkhidmatan.

Keadaan ini menyebabkan mereka berpindah ke bandar.

Masalah kekurangan tenaga kerja di kawasan luar bandar timbul akibat daripada penghijrahan penduduk desa terutamanya penduduk pemuda ke bandar.

Keadaan ini telah menyebabkan banyak kawasan pertanian di luar bandar dibiarkan dan tidak dapat dimajukan.

Kajian Perbandingan 1 : Kesan Pembandaran Di Tokyo, Jepun



Tokyo mempunyai jumlah penduduk seramai 27 juta orang.

Merupakan ibu negara Jepun.

Tokyo berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat perindustrian, pusat perdagangan, pusat kebudayaan dan pelancongan yang penting di Jepun.


Kesan positif akibat pembandaran di Tokyo adalah seperti berikut:

Kewujudan peluang pekerjaan yang banyak terutamanya di kawasan perusahaan Keihin.

Menambahkan kemudahan intrastruktur yang baik dan cekap dalam bandar.
Contohnya, perkhidmatan kereta api peluru (bullet train) dan landasan kereta api bawah tanah.

Wujud kawasan rekreasi dan pelancongan seperti Disneyland.

Pembangunan kawasan pinggir bandar berlaku. Contohnya, pembandaran di Tokyo telah menyebabkan kawasan bandar diperluaskan ke sempadan Wilayah Chiba di bahagian timur, Wilayah Kanagawa di bahagian selatan, dan Wilayah Saitama di bahagian Utara.


Kesan-kesan negatif pembandaran yang dialami oleh Tokyo ialah seperti berikut:

Kesesakan lalu lintas

Kekurangan tempat tinggal

Pencemaran


Kajian Perbandingan 2 : Masalah Pembandaran Di Bangkok, Thailand

Bangkok ialah ibu negara dan bandar yang terbesar di Thailand. Jumlah penduduk di Bangkok ialah kira-kira 5 juta orang.

Bangkok merupakan bandar primat diThailand. Fungsi Bandar Bangkok ialah sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan perniagaan, pusat pengangkutan, pusat pengumpulan, dan pusat pelancongan.



Kesan positif akibat proses pembandaran di Bangkok adalah seperti berikut:

Peluang pekerjaan yang banyak telah wujud hasil daripada pembukaan kawasan perkilangan.

Kewujudan pelbagai kemudahan sosial seperti Hospital Besar Bangkok dan Hospital Bumrungrad.

Sistem pengangkutan yang sempurna terdapat di Bangkok. Contohnya ialah lebuh raya bertingkat, pengangkutan aliran ringan (LRT), serta terusan-terusan air yang dikenal sebagai Klong.

Pembukaan kawasan pelancongan yang terkenal iaitu Safari World.
Peningkatan taraf hidup penduduk Bangkok.


Bangkok juga mengalami kesan negatif pembandaran. Antaranya ialah:

Masalah kesesakan lalu lintas. Bangkok merupakan salah sebuah bandar yang mengalami kesesakan lalu lintas yang paling serius di dunia.

Berlakunya masalah pencemaran air, udara, dan bunyi.

Kawasan setinggan bertambah akibat daripada kekurangan tempat tinggal.


Langkah-langkah Menyelesaikan Masalah Pembandaran Di Malaysia
1. Kesesakan lalu lintas
Masalah ini dapat dikurangkan dengan mengadakan kempen untuk menggalakkan penduduk menggunakan kenderaan awam atau berkongsi kereta.

Selain itu, jalan raya yang sempit perlu dilebarkan. Jejantas pula perlu dibinakan.

Perkhidmatan pengangkutan aliran ringan (LRT) dan monorel diperkenalkan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan dan masalah kesesakan lalu lintas.

2. Pencemaran
Pelbagai undang-undang digubal dengan tujuan mengawal kualiti alam sekitar. Contohnya ialah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, 1985 (Pindaan). Akta ini dibahagikan kepada: Peraturan Kenderaan Bermotor (Kawalan perlepasan asap, 1977). Peraturan ini mengehadkan perlepasan asap kenderaan kepada 50 HDV. Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Udara Bersih, 1978). Peraturan ini menghadkan jarak antara kawasan industri dengan kawasan kediaman kepada 1000 meter.

Kilang-kilang perlu memasang penapis dan meninggikan cerobong asap.

Dendaan yang tinggi dikenakan terhadap sesiapa yang membebaskan sisa buangan ke udara dan sungai.

Pokok-pokok ditanam di bandar untuk tujuan penghijauan bandar. Penanaman pokok dapat mengekalkan suhu sekeliling.

Pencemaran air dapat dikurangkan dengan memasang perangkap sampah di sungai.

Selain itu, sistem rawatan air kumbahan yang sempuma dengan pembinaan loji kumbahan perlu dijalankan.

3. Banjir kilat
Masalah banjir kilat di bandar berpunca daripada kelemahan dalam sistem perparitan dan saliran. Jadi taraf sistem perparitan dan saliran perlu dinaikkan.

Selain itu, kerja-kerja mendalamkan sungai perlu dilakukan.

4. Kekurangan tempat tinggal
Masalah ini dapat dikurangkan dengan membina lebih banyak rumah kos rendah dan pangsapuri.

Kawasan yang sedia ada perlu ditempatkan semula di petempatan terancang.

Masalah kekurangan tempat tinggal berlaku akibat daripada penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar. Konsep memperbandarkan kampung diperkenalkan untuk mengurangkan tumpuan penduduk di bandar.

Selain itu, pembukaan kawasan perkilangan di luar bandar juga dapat mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

Soalan
Arahan : Pilih jawapan yang betul

1. Di Kanada, Confederation Bridge menghubungkan Pulau Prince Edward dengan
A Toronto
B New Brunswich
C Montreal
D Prince Rupert

2. Antara yang berikut, manakah sumbangan Jalan Air St.Lawrence- Tasik-tasik Besar kepada perkembangan perindustrian di Tanah Pamah St.Lawrence ?
A mengangkut barangan lebih murah dan mudah
B penghantaran barang lebih cepat
C dapat mengawal pencemaran laut
D menyediakan banyak peluang pekerjaan

- Belaga
- Bario

3. Senarai di atas adalah lapangan terbang di Malaysia yang berfungsi
untuk...
A menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar
B membawa pelancongan saja
C membawa barangan untuk dijual di pasar di bandar
D menghubungkan antara bandar-bandar

4. Barangan yang diangkut melalui pelabuhan antarabangsa di Kanada ialah...
I gandum
II bijih besi
III petroleum
IV kelapa sawit

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

5. Mengapakah jalan kereta api merupakan pengangkutan yang penting di Kanada ?
I paling ekonomik
II memudahkan pergerakan penduduk dari Kanada Timur ke Wilayah Praire
III paling cepat
IV membangunkan ekonomi di kawasan pedalaman

A I, II dan III
B I, II dan IV
C I, III dan IV
D II, III dan IV

6. Langkah-langkah untuk mengawal pencemaran laut ialah...
I menguatkuasakan undang-undang
II menjalankan pemantauan perairan
III menjalankan proses menyahmasinkan air laut
IV menjalankan kaedah silvikultur

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

7. Antara yang berikut, manakah alat pengangkutan yang dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya ?
I teksi
II LRT
III komuter
IV kereta persendirian

A I dan II
B II dan III
C III dan IV
D I dan IV

8. Apakah kelebihan pembinaan lebuh raya di Malaysia ?
I Memendekkan jarak perjalanan
II Menjimatkan masa perjalanan
III Memajukan pekan-pekan kecil
IV Memajukan industri kraf tangan

A I, II dan III
B I, II dan IV
C I, III dan IV
D II, III dan IV

9. Pernyataan manakah mempengaruhi aspek kependudukan kesan kemajuan sektor pengangkutan dan perhubungan ?
I Kadar pertumbuhan penduduk meningkat
II Migrasi berlaku dengan meluas
III Penduduk bertumpu di bandar utama
IV Memudahkan mobiliti penduduk

A I, II dan III
B I, II dan IV
C I, III dan IV
D II, III dan IV

10. Lebuh raya yang manakah terletak di negara Kanada ?
I Lebuh Raya Alaska
II Lebuh Raya Trans Kanada
III Lebuh Raya Trans Siberia
IV Lebuh Raya Mackenzie

A I, II dan III
B I, II dan IV
C I, III dan IV
D II, III dan IV
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...