03 Julai 2009

Petempatan


Pengenalan
Petempatan merupakan sesuatu tempat manusia tinggal dan berinteraksi antara satu dengan yang lain melalui pelbagai aktiviti. Antara aktiviti itu termasuklah pertanian dan perikanan, perlombongan, pembalakan, perindustrian, perniagaan, dan perkhidmatan. Terdapat petempatan berselerak di kawasan kebun kecil. Ada juga petempatan yang terdiri daripada beberapa buah rumah yang lengkap dengan kedai, bangunan komersial, dan taman rekreasi. Bandar Georgetown adalah petempatan yang padat. Penduduknya menjalankan pelbagai jenis kegiatan ekonomi. Di negara Malaysia, petempatan bermula daripada petempatan yang kecil dengan kegiatan ekonomi yang terhad

Sejarah Petempatan awal
Pada masa dahulu, manusia hidup secara nomad. Mereka berpindah-randah untuk mencari makanan dengan memburu binatang dan mengumpul buah-buahan. Kira-kira 8 000 S.M, cara hidup mereka mula berubah. Manusia mula pandai mentemak binatang seperti lembu, biri-biri, dan kambing. Mereka juga menanam tanaman seperti padi, gandum, dan jagung. Perkembangan ini menyebabkan manusia tinggal dan menetap di sesuatu tempat. Seterusnya, manusia mempelbagaikan kegiatan dan menjalankan aktiviti bukan pertanian seperti perniagaan dan perkhidmatan.Petempatan awal di dunia bermula di lembangan sungai, iaitu di Lembangan Sungai Tigris-Euphrates (Mesopotamia), Lembangan Sungai Nil, Lembangan Sungai Indus, dan Lembangan Sungai Hwang He. Keempat-empat petempatan awal ini juga merupakan tamadun yang paling awal. Lihat peta di bawah


Faktor-faktor yang menggalakkan manusia menetap di keempat-empat lembangan sungai tersebut adalah hampir sama. Keempat-empat kawasan ini mempunyai keadaan yang sesuai untuk petempatan dan aktiviti pertanian. Antaranya termasuklah:
-Dataran sungai yang rata,subur, serta kaya dengan tanih aluvium.
-Terdapat kawasan rumput untuk temakan.
-Sungai menyediakan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pengairan.
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan.

Petempatan Awal Di Malaysia
Gua, muara sungai, dan tepi laut merupakan petempatan awal di Malaysia. Gua menjadi pilihan petempatan awal kerana terlindung daripada serangan musuh, binatang buas, dan cuaca buruk. Contoh kawasan gua ialah Gua Niah (Sarawak) dan Gua Kota Tampan di Lenggong (Perak)



Faktor-faktor yang menggalakkan petempatan awal di lembangan sungai ialah:
-Kawasan rata yang subur dan tanih aluvium
-Sungai membekalkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian
-Sungai membekalkan sumber makanan seperti ikan, udang, dan ketam
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan , perniagaan, dan perdagangan
-Terlindung daripada ancaman binatang buas

Pertanian merupakan kegiatan utama di kawasan petempatan awal. Muara sungai menjadi petempatan awal disebabkan oleh faktor-faktor berikut:
-Tanah pamah dan tanih aluvium yang subur untuk pertanian.
-Mudah memperoleh bekalan air
-Sungai membekalkan sumber makanan
-Sungai menyediakan jalan pengangkutan mudah dan utama

Kawasan muara sungai yang menjadi petempatan awal ialah Melaka (Sungai Melaka), Lembah Bujang (Sungai Merbok), dan Kerajaan Johor-Riau (Sungai Johor). Kawasan pantai juga menjadi kawasan petempatan awal kerana laut merupakan salah satu jalan pengangkutan utama.

Jenis Petempatan Di Malaysia
Jenis petempatan terbahagi kepada dua, iaitu petempatan bandar dan petempatan luar bandar. Faktor yang membezakan jenis petempatan ini ialah dari segi fungsi, saiz penduduk dan kepadatan penduduk. Jenis petempatan ini dapat dilihat seperti di bawah.

Petempatan bandar
Ia mempunyai jumlah penduduk melebihi 10000 orang. Kepadatan penduduk adalah tinggi.
Aktiviti ekonominya lebih mengutamakan perniagaan, perdagangan, perkilangan dan perkhidmatan. Contoh petempatan bandar ialah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu

Petempatan luar bandar
Ia mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 10000 orang. Kepadatan penduduk adalah sederhana atau jarang. Aktiviti ekonominya lebih mengutamakan pertanian, pembalakan, perlombongan dan perikanan. Contoh petempatan bandar ialah Lenggong, Pengkalan Hulu, Bagan Datoh dan Beserah

Petempatan Luar Bandar Dan Faktor Penentu Tapak
Terdiri daripada petempatan kampung dan pekan. Petempatan kampung mempunyai penduduk antara 1 hingga 1 999 orang. Petempatan pekan mempunyai penduduk antara 2000 hingga
9 999 orang. Menjalankan kegiatan pertanian dan perikanan seperti di Dataran Kedah-Perlis - menanam padi dan Pulau Ketam - petempatan nelayan

Faktor yang mempengaruhi petempatan luar bandar ialah seperti dalam jadual di bawah:
1. Bentuk muka bumi
Kawasan tanah pamah - Memudahkan pembinaan petempatan dan penanaman padi . Contoh: Dataran Kedah, Sungai Manik
Kawasan beralun - Sesuai untuk penanaman getah, kelapa sawit, dan nanas. Contoh: Dataran pantai barat SemenanjungMalaysia
Lembah di kawasan tanah tinggi - Sesuai untuk tanaman hawa sederhana. Contoh: Nalapak di Sabah

2. Sumber air
Untuk kegunaan harian, mengairi kawasan tanaman, dan aktiviti menangkap ikan. Contoh: Sungai Perak, Sungai Kelantan

3. Tanih
Dataran sungai yang kaya dengan tanih aluvium yang kaya dengan tanih aluvium untuk penanaman padi Contoh: Dataran Sungai Rajang

4. Kegiatan ekonom.
Pertanian, perikanan, perlombongan Contoh: Kuala Sedili, Mukah, Kuala Besut

5. Ketersampaian
Berhampiran dengan jalan raya, sepanjang pinggir pantai, dan sungai
Contoh: Kampung Merang di Terengganu menghadap Laut China Selatan, Sungai Rajang dapat dimudiki hingga ke Kapit

6. Dasar kerajaan
Pembukaan tanah oleh FELDA
Contoh: Felda Jengka di Pahang, Felda Air Tawar di Kota Tinggi

Pola Petempatan
Pola Petempatan Berselerak


Terdapat di kawasan luar bandar. Rumah dibina berselerak tanpa susunan yang tetap serta dipengaruhi juga oleh bentuk muka bumi.
Dibina di tanah pertanian yang dimiliki sendiri.
Terdapat di kawasan kebun-kebun kecil getah, kelapa dan padi.
Jarak antara bangunan adalah berjauhan antara satu sama lain.

Pola Petempatan Berjajar


Rumah dibina dalam satu barisan yang panjang lagi sempit.
Pola ini terdapat di sepanjang jalan raya, sungai, kaki bukit, permatang, benteng, tali air, dan pinggir laut. Ia juga dikenali sebagai petempatan linear

Pola Petempatan Berpusat


Rumah dirapat dan padat dalam satu kawasan.
Terdapat di kawasan seperti bandar, bandaraya, kampung baru, ladang getah dan ladang kelapa sawit. Mempunyai jaringan jalan raya yang baik.
Petempatan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan

Pola Petempatan Berkelompok


Petempatan berkelompok ialah susun atur rumah-rumah secara berkelompok di sesuatu kawasan seperti petempatan FELDA. Petempatan jenis ini terdapat di simpang jalan raya, jalan kereta api dan muara sungai. Susun atur rumah dan bangunan di petempatan berkelompok yang terancang adalah lebih teratur

Fungsi Petempatan Luar Bandar
1. Aspek Ekonomi
Pertanian dan perikanan : Contoh petempatan luar bandar yang bertungsi sebagai pusat pengeluar hasil pertanian dan perikanan ialah Dataran Kedah-Perlis, Tanah Tinggi Cameron, dan Dataran Kelantan

Industri kecil : Contoh petempatan luar bandar yang menjalankan industri kecil ialah Kampung Bahagian, Air Hitam, Pulau Pangkor

Pembalakan : Contoh petempatan luar bandar yang bertungsi sebagai pengeluar sumber hutan ialah Sabah dan Sarawak

Rekreasi dan pelancongan : Contoh petempatan luar bandar yang menjalankan aktiviti agropelancongan ialah Taman Agro Sungai Udang dan Taman Agro Selandar

Perniagaan kecil-kecilan : Contohnya kedai runcit

2. Aspek Sosial
Kemudahan awam : Contohnya ialah pejabat pos, klinik desa, kemudahan teleton awam

Pendidikan : Contohnya ialah tadika, sekolah rendah, dan sekolah menengah

Budaya dan sosial : Balai raya, masjid, dewan orang ramai

3. Aspek Politik
-Berfungsi sebagai pusat pentadbiran kecil-kecilan
-Ketua Kampung atau Tok Sidang menjalankan fungsi pentadbiran di kampung
-Penghulu atau Penggawa mentadbir kampung
-Tuai Rumah mengetuai rumah panjang
-Tuai Batin mengetuai perkampungan orang asli

Soalan
Pilih jawapan yang betul

- Memberi perlindungan semulajadi daripada binatang buas.
- Melindungi daripada cuaca panas dan hujan.

1.Pernyataan di atas merujuk kepada jenis petempatan awal..........
A muara sungai
B pinggir pantai
C gua
D tebing sungai

2. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi lokasi petempatan awal di negara Malaysia?
I Kegiatan ekonomi
II Tanih
III Air
IV Keselamatan

A I,II, dan III
B I, II, dan IV
C I, III dan IV
D II, III, dan IV

- Dataran Kedah-Perlis
- Dataran Kelantan

3. Apakah jenis kegiatan yang menyebabkan wujud petempatan luar bandar di tempat-tempat di atas?
A Pertanian
B Pembalakan
C Perikanan
D Perlombongan

4. Mengapakah Gua Musang di Kelantan menjadi tapak untuk mendirikan petempatan?
A Kegiatan pertanian dijalankan
B Petempatan semula penduduk ke kawasan tersebut
C Terdapat kemudahan pengangkutan
D Terdapat pelabuhan utama

5. Antara berikut, faktor yang manakah menyebabkan sungai sering menjadi tumpuan penduduk?
A Bebas dari pelbagai ancaman alam.
B Tanih aluvium yang subur
C Permukaan bumi yang beralun
D Jaringan pengangkutan maju

- Kukup
- Pulau Ketam
- Beserah

6. Petempatan di atas dikaitkan dengan kegiatan......................
A pertanian
B perikanan
C perdagangan
D perlombongan

7. Antara berikut yang manakah merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi petempatan di Malaysia?
A Sejarah
B Budaya
C Fizikal
D Ekonomi

A I, II, dan III
B I, II, dan IV
C I, III, dan IV
D II, III, dan IV

8. Berikut adalah kawasan yang diterokai oleh kerajaan melalui rancangan kemajuan tanah kecuali,
A FELDA
B KEJORA
C MADA
D DARA

9. Antara berikut ciri-ciri fizikal yang manakah menggalakkan petempatan di Malaysia?
A kawasan yang terlalu rendah
B kawasan yang berhutan tebal
C kawasan paya yang sentiasa dibanjiri air
D tanah pamah yang rata,subur dan bersaliran baik
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...