22 Julai 2013

MEMBINA HIDUP BAHAGIA

Perhatikanlah diri kita masing-masing, sejurus membuka mata ketika bangun dari tidur. Adakah kita turut membuka hati dan minda? Orang yang bijaksana adalah mereka yang tahu bagaimana membuat hidup ini bermakna. Hidup yang diisi dengan kegembiraan, walau terpaksa melawan penyakit yang menyerang mental dan fizikal atau mungkin menghadapi manusia-manusia di sekeliling yang berpenyakit ’kurang daya tahan iman’ sehingga menyakitkan hati.
Beberapa petua bagi membina hidup yang gembira lagi bahagia ialah:
1. Mempunyai peranan mulia pada setiap hari.
Ini adalah bersandarkan falsafah hidup yang telah digariskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dialah yang menjadikan maut dan hidup ini untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya.” (Surah Al-Mulk: Ayat 2)
Ayat tersebut seolah-olah merangsang lima deria manusia – juga meransang deria yang keenam iaitu deria hati – dan memujuknya agar bertenang, jangan takut dan sedih menghadapi hidup. Pada hakikatnya, ujian adalah suatu saat yang paling diminati oleh pelajar-pelajar yang cemerlang. Begitulah seharusnya orang beriman yang cemerlang menghadapi dunianya pada setiap hari. Maksud ayat menyatakan: ’Siapakah yang paling baik amalannya’ bermakna siapakah yang paling baik peranannya sebagai manusia.
Hanya orang-orang yang paling bermanfaat bagi orang lain saja yang akan dikenang jasanya. Hidup sebagai ’orang penting’ atau orang yang berperanan terbukti mampu menjadikan kita bahagia. Seorang bapa dengan bangga berkata: ”Akulah ketua rumahtangga yang penyayang dan bertanggungjawab serta seorang pekerja yang penuh dedikasi.” Manakala isterinya juga tak kalah hebat, katanya: ”Kalau bukan kerana saya anak-anak tak akan berjaya seperti sekarang.” Inilah yang dinamakan ’peranan’ yang membangkitkan jiwa-jiwa manusia. Menjulang nama agama, bangsa dan negara.
2. Jangan jadi penganggur yang menghitung masa.
Membuang masa merencatkan akal fikiran. Bekerja boleh menyihatkan badan, menajamkan sentuhan rasa dan mengubat kesedihan. Para pakar psikologi menyarankan agar para wanita yang ’tertekan’ hendaklah mengubat perasaannya dengan melakukan sesuatu yang menyibukkan. Seperti mengemas rumah, menanam bunga dan memelihara haiwan peliharaan. Islam menyarankan kita memakan ’ubat bahagia dan bebas tekanan dengan menghayati ayat al-Quran, meneliti hadis Rasulullah SAW, membaca buku-buku yang bermanfaat, berziarah kepada saudara-mara, menuntut ilmu dan melakukan kerja-kerja amal. Sesungguhnya kewajipan-kewajipan itu lebih banyak dari masa yang kita ada. Bahagia itu dirasa melalui perhubungan atau komunikasi yang baik dengan sesama manusia, bukannya dengan cara duduk menyendiri tanpa melakukan sesuatu.
3. Jangan dengki dan jangan riya’.
Petua bahagia yang paling berkesan adalah lihat ke bawah, jangan lihat ke atas. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Lihatlah kepada orang-orang yang di bawahmu, jangan melihat kepada orang-orang yang di atasmu, kerana itu kamu tidak akan memandang remeh nikmat Allah ke atasmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dengki mempunyai sebabnya. Mungkin kerana kita terlalu menunjuk-nunjuk (riyak) kepada si pendengki itu. Akhirnya yang berdosa adalah kedua-duanya. Sebab mahu menunjukkan kehebatan, kita membuat orang lain dengki. Perhubungan sesama saudara menjadi tegang, saling sakit menyakiti dan tidak ada ruang untuk berkasih sayang. Si riyak dan si dengki tak akan pernah merasakan bahagia di hati. Yang ada hanya dendam yang tak sudah.
Bahagia yang hakiki adalah apabila kita dapat berkongsi perasaan itu dengan orang lain. Pastikanlah mereka yang mengenali diri kita mendapatkannya, barulah anda rasa keseronokan hidup di dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...