27 Julai 2013

BAGAIMANAKAH KITA PADA USIA LANJUT?

Setiap insan pasti akan hilang segenap kekuatan yang pernah ada secara perlahan-lahan. Kita terpaksa akur dengan fitrah alam yang akan merenggut tulang-tulang kita menjadi rapuh, darah dan daging sudah tidak sesegar dulu lagi. Manakala rambut pula memutih dan kulit menjadi kering. Semuanya tidak lagi cantik dan menarik. Mengapa harus bersedih pada penghujung usia? Cukuplah bagi kita untuk tertawa bergembira menikmati hari-hari tua ini. Mengapa harus melayan perasaan? 
Bagaimana kehidupan Rasulullah ketika tua?
Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun. Sehingga detik-detik terakhir dalam hidupnya baginda masih mengimamkan sembahyang berjemaah, mengajarkan ilmu, menyebarkan dakwah dan mengatur strategi penyebaran Islam ke luar Madinah. Terakhir kalinya baginda SAW mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh seorang anak muda kesayangan baginda iaitu Usamah bin Zaid RA, anak dari anak angkatnya sendiri. Berketurunan seorang hamba sahaya, tetapi ayahnya juga seorang pejuang dan ahli tafsir terhebat di kalangan sahabat Nabi SAW dan orang yang pertama kali menuliskan Al-Quran dengan tangannya sendiri iaitu Zaid bin Harithah. Bayangkan ketika Rasulullah SAW dalam keadaan sakit, tua dan lemah, baginda masih bekerja bersungguh-sungguh untuk dakwah Islam. Baginda juga masih menerima wahyu-wahyu yang merupakan titah perintah dari Raja Yang Maha Berkuasa. Daripada Anas RA beliau berkata: ”Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW sebelum wafatnya, sampai detik-detik terakhir, baginda masih sering menerima wahyu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tiada kerehatan walaupun baginda seorang penguasa, pemimpin umat dan Rasul pilihan. Jika beliau mahu nescaya memperoleh harta kekayaan, perhiasan dan layanan istimewa. Bahkan dunia seisinya boleh dengan senang Allah SWT kurniakan. Tetapi baginda memilih untuk hidup dalam kesusahan, dalam perjuangan. Masa yang berlalu begitu berharga demi menolong agama Allah ini, sampai ke akhir usia. Kerja-kerja yang dibuat tiada noktah penghabisannya kecuali maut yang memisahkan roh dari jasad. Kembalilah kepada Allah dengan diredai dan reda kepada-Nya, Radhiyatan Mardhiyyah.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Setiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya sesuai dengan keadaannya ketika dia wafat.” (Hadis riwayat Muslim)
Kemuliaan seorang anak manusia bukan terletak pada pangkat dan darjatnya, harta dan perhiasannya atau keturunan nasabnya. Ia akan dikenang kerana kemuliaan amal perbuatannya. Jika dia mati dalam keadaan semua orang yang mengenalinya merasa kehilangan dan sayang kepadanya, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang betul-betul berpengaruh ke atas mereka. Pengaruh yang baik, bekas-bekas peninggalan yang baik, sejarah dan kenangan yang baik.
Pada usia tua, sakit adalah takdir yang harus diredai. Ia adalah sebagai kaffarah bagi kesilapan kita pada masa muda dahulu. Berbaik sangkalah kepada Allah. Teruskan bekerja dan beramal, ibadah dan muamalah sesama insan. Sampai Allah SWT sudi menerima kita sebagai sebenar-benar hamba-Nya yang teruji.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...