13 Julai 2013

RESIPI BUAT ISTERI BAHAGIA

1. Dampingi dia mencapai kejayaan dalam hidupnya.
Jadilah lelaki yang gentleman, sentiasa di sampingnya saat ia memerlukan. Kelemahan isteri adalah bukti kelemahan suami juga. Tugas anda adalah menuntun dan mengganding tangannya agar dapat melalui jalan yang susah dan berbahaya dengan selamat. Bukankah telah jelas dan terang dalam firman-Nya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Taubah: Ayat 71)
2. Buktikan anda bertanggung jawab.
Berikan hak isteri dan anak-anak dengan nafkah yang cukup, tidak berlebih atau berkurangan. Sesungguhnya pahala yang besar akan diberikan kepada seorang suami yang ikhlas memberi nafkah kepada keluarganya. Sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: ”Satu dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah, dan satu dinar yang kamu keluarkan untuk memerdekakaan seorang hamba, dan satu dinar yang kamu berikan untuk orang miskin, dan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu maka yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim)
3. Bersikap romantik.
Romantik adalah kelembutan, kasih sayang, rindu, hormat, menghargai, memaafkan, memberi peluang, ikhlas memberi, sedih ketika dia sedih dan gembira ketika dia gembira, menolong, menasihat dan bersungguh-sungguh menghidupkan suasana percintaan yang dia mahukan. 
4. Hormati keluarga isteri.
Yang paling berharga dalam hidupnya sebelum kehadiran anda adalah kedua ibu bapanya. Jangan pisahkan kasih mereka disebabkan diri anda. Penghormatan yang paling tinggi nilainya ialah hiasi peribadi anda dengan budi bahasa yang sopan dan beradab terhadap keluarga isteri.
5. Merancang masa depan bersama, sehidup dan semati. 
Jangan terpedaya oleh pujukan nafsu yang akan merosakkan kebahagiaan anda dan isteri, lelaki boleh dikalahkan oleh tiga jenis racun iaitu, harta, tahta dan wanita. Tetapi jika iman sentiasa memenuhi hati anda, Allah SWT akan menolong anda melalui tiga ujian itu dengan selamat. Rancanglah masa depan dengan teliti, banyak agenda yang harus dikejar, dunia dan akhirat sama-sama ditimbang. Berpalinglah dari nafsu syahwat yang merosakkan impian anda dan isteri. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...