12 Julai 2013

Tujuh Pengorbanan Setiap Hari

Berkorban mengandungi makna mencintai, mentaati, mengabdi, menyerahkan dan reda. Hanya hamba Allah yang bermujahadah saja dapat melakukan pengorbanan ini. Berkorban juga mengajak kita memperbaharui cinta kita kepada Allah, Rasul-Nya, diri sendiri, ibu bapa, isteri, suami, anak-anak dan yang terakhir umat manusia seluruhnya. Tujuh pengorbanan ini hendaklah dilakukan setiap hari dan bukan hanya setahun sekali.

1. Berkorban untuk Allah.
Inilah seagung-agungnya ibadat di atas muka bumi. Apa saja yang Allah suka adalah amalan kita dan apa yang dibencinya adalah pantang larang bagi kita. Insan yang beriman hidup untuk kepentingan Allah, ia memastikan setiap qadak dan qadar Allah menjadi pilihan hidupnya, yang nikmat disyukuri dan musibah diterima dengan sabar. Tidak terlewat sedetikpun dalam hidupnya kecuali untuk beribadat kepada Allah. Makannya adalah ibadat, bekerja adalah ibadat, belajar, berhibur dan berinteraksi dengan manusia adalah ibadat baginya. Allah tidak pernah terlepas dari ingatannya, dari ayunan langkahnya, dari gerak geri dan tindakannya, penglihatan dan pendengarannya. Semata-mata hidupnya untuk dan demi Allah. “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Rabb sekalian alam.”
2. Berkorban untuk Rasulullah SAW.
Cinta kepada Nabi Muhammad SAW dibuktikan dengan menghidupkan sunnahnya, memperjuangkan agamanya dan hidup dalam kenangan peribadinya yang harum. Apa saja yang kita kerjakan hendaklah dipastikan adakah Rasulullah SAW membenarkannya dan pernah mengamalkannya. Firman Allah SWT: “Apa saja yang dibawa oleh Rasul itu terimalah, Apa-apa yang kamu ditegah melakukannya maka berhentilah!” (Surah Al-Hasyr: Ayat 7)
3. Berkorban untuk diri sendiri.
Orang yang paling berjaya adalah mereka yang banyak mengasihani diri sendiri. Lihatlah diri kita sebagai orang lain yang dengan mudah kita menemukan aib-aibnya. Apakah yang mesti diperbaiki dan apakah yang harus dipertingkatkan? Biasanya manusia lebih arif menilai kawannya dibandingkan ia menilai dirinya sendiri. Sesungguhnya pengorbanan kita untuk diri sendiri adalah segala usaha yang kita lakukan untuk memperbaikinya, mempertingkatkan keimanan dan kejayaan dunia dan akhirat kita. Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah, dalam segala hal adalah kebaikan baginya. Bersemangatlah mengerjakan sesuatu yang bermanfaat bagi dirimu, serta mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah!” (Hadis riwayat Muslim)
4. Berkorban untuk ibu bapa.
Siapalah kita tanpa ibu bapa. Apa yang kita miliki sekarang berpunca dari keduanya. Tak ada mereka maka tak adalah kita. Sungguh hairan dengan penderhaka-penderhaka yang masih nyenyak tidurnya ketika kedua ibu bapanya tiada yang mahu ambil peduli, alasan demi alasan disusun untuk mengelak dari tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Tetapi adakah mereka berfikir pernahkah ibu bapa mereka membiarkan mereka tanpa kasih sayang, penjagaan dan bantuan? Daripada ’Amru bin al-’Ash RA dari Nabi SAW baginda bersabda: ”Dosa-dosa besar itu adalah menyekutukan Allah, menderhaka kepada orang tua, membunuh orang dan sumpah palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
5. Berkorban untuk pasangan hidup kita.
Kasih sayang antara suami dan isteri hendaklah sentiasa disemai dalam hati masing-masing. Kekurangan yang ada pada pasangan kita jangan menjadi sebab pertelingkahan, malah seharusnya kekurangan itu menjadi agenda bersama untuk diperbaiki. Masing-masing berperanan mempengaruhi pasangannya untuk merubah diri ke arah yang lebih baik. Biarlah sayang itu berpanjangan sampai ke akhirat. Sikap mengalah, sabar dan saling menghormati hendaklah menjadi amalan. Ujian dan cubaan pada perhubungan suami isteri adalah hal biasa yang mesti dihadapi dengan sikap matang dan bertanggungjawab. Pasangan kita adalah belahan jiwa kita, cermin diri kita dan sumber kekuatan kita untuk terus berjuang dalam kehidupan ini.
6. Berkorban untuk anak-anak.
Anak adalah harta yang tak ternilai harganya. Daripada merekalah kita mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah. Pengorbanan kita mendidik dan mengajar seharusnya menjadi amalan wajib yang tak pernah ada akhirnya. Proses ini berterusan sehingga menghantarkan mereka pada kejayaan masuk ke syurga Allah. Kalau hanya setakat dapat gelaran dan kejayaan duniawi sahaja, belumlah dapat dikatakan sudah berjaya kita mendidik mereka. Tapi pastikan kejayaan dan kecemerlangan itu sampai ke akhirat. Jadi jangan cepat berbangga dulu, sebelum kita pastikan mereka layak mendapat keredaan Allah. Berkorbanlah untuk kerja mendidik dan mengajar anak manusia yang memerlukan kekuatan fikiran, perasaan dan ketahanan tubuh badan. Setiap hari pasti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pengukuhan insan pada diri anak kita jika anda ibu bapa yang bertanggungjawab.

7. Berkorban untuk umat manusia.

Hidup menjadi tak bermakna tanpa kesejahteraan dan keamanan. Begitu juga kerukunan dan persahabatan adalah nikmat hidup yang mesti dimiliki bersama. Tidak ada permusuhan dan persengketaan dalam perhubungan sesama insan. Sikap toleransi sesama manusia walaupun berbeza fahaman hendaklah menjadi simbol perpaduan.
Setiap hari pengorbanan mesti dilakukan untuk memastikan Islam menjadi rahmatan lil ’Alamin, rahmat untuk alam seluruhnya! Dan anda menjadi mutiara yang berkilauan walaupun berada di tengah-tengah lautan yang bergelora.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...