04 Ogos 2013

Kawan Dunia Akhirat

Pepatah Arab ada menyatakan: “Jangan tanya siapa dia, tetapi tanyalah siapa temannya. Setiap teman pasti mengikuti temannya.” Al-Quran telah memberi satu acuan yang penting untuk mencari sahabat sejati, Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Teman-teman yang akrab pada hari itu (di akhirat), sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Zukhruf Ayat: 67). Syarat mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat ialah teman-teman akrab yang bertakwa. 

Apakah ciri-ciri keperibadian teman yang bertakwa itu?

Mengajak kita bangkit jika terjatuh, menyuluh jalan yang benar ketika anda bercelaru, mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan menjadi benteng kukuh di hadapan ketika kita melawan iblis dan syaitan. Imam al-Syafi’i berkata: ”Aku mencintai hamba-hamba Allah yang saleh, walaupun aku bukan termasuk dari kalangan mereka. Agar dengan itu aku mendapat pertolongan dari mereka. Dan aku membenci orang-orang yang barang dagangannya adalah maksiat, meskipun barang dagangan kami sama dengannya.”

Antara kisah-kisah indah sebuah persahabatan yang terjalin pada zaman Rasulullah SAW ialah ketika Abdul Rahman bin ’Auf datang ke Madinah dalam peristiwa hijrah. Beliau ditawarkan oleh sahabat Ansharnya dengan dua tawaran hebat. Lelaki Anshar itu berkata: ”Wahai sahabatku di jalan Allah, mahukah kamu mengambil salah seorang daripada isteri-isteriku? Begitu juga dengan hartaku yang banyak ini, ambillah untuk memulai kehidupanmu di sini.” Abdul Rahman bin ’Auf menjawab: ”Allah akan membalas kebaikanmu, aku hanya meminta darimu satu permintaan sahaja dan setelah ini aku tidak akan mengganggumu lagi. Tolonglah tunjukkan di manakah pasar yang terbaik di sini? Aku akan memulakan perniagaanku dengan usahaku sendiri.” Beliau sama sekali tidak mengambil kesempatan dan memperguna kebaikan sahabatnya demi mengaut keuntungan sendiri. Di manakah sahabat sejati? Anda pasti menemuinya jika anda ikhlas mencari mereka kerana Allah Taala.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...