24 Julai 2009

PELANCONGAN TANAH TINGGI DI MALAYSIA : ISU DAN CABARANNYA

ABSTRAK
Malaysia kaya dengan pelbagai ciri tarikan pelancongan seperti keindahan alam sekitar, keanekaan budaya, keunikan senibina prasarana dan khazanah tinggalan sejarahnya. Kepesatan pembangunan ekonomi, kewujudan pelbagai infrastruktur dan kestabilan politik menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara. Salah satu daya tarikan pelancong yang perlu diberikan perhatian sewajarnya ialah pembangunan pelancongan di kawasan tanah tinggi. Kebanyakan zon tanah tinggi di Malaysia kaya dengan pelbagai spesis fauna dan flora yang unik. Pelbagai isu dan cabaran perlu diteliti dan diberikan perhatian khusus dalam usaha memaju dan membangunkan pelancongan tanah tinggi yang lebih menyeluruh dan bersepadu. Ia meliputi aspek perancangan, pertimbangan terhadap isu sosiobudaya, ekonomi, alam sekitar serta pengurusannya.

1.0 PENGENALAN
Kawasan tanah tinggi di Malaysia merupakan zon yang secara relatifnya perlahan dari segi magnitud pembangunan berbanding dengan kawasan di tanah pamah. Secara umumnya, taburan tanah tinggi di Semenanjung Malaysia adalah bertunjangkan Banjaran Titiwangsa manakala di Malaysia Timur pula oleh Banjaran Iran dan Banjaran Crocker. Lazimnya, kawasan tanah tinggi merupakan legeh lembangan sungai dan diliputi tumbuhan semulajadi. Zon tanah tinggi di Malaysia merupakan kawasan yang kaya dengan pelbagai sumber alam, sumber air minum, gua, pelbagai logam dan mineral serta habitat pelbagai spesis flora dan fauna. Pelancongan mampu menjadi perangsang kepada pembangunan kawasan tanah tinggi di Malaysia. Beberapa negara Eropah seperti Switzerland, Peranchis dan Sweden, Banjaran Rocky di Amerika Utara, Banjaran Andes di Amerika Selatan dan Pergunungan Alps menjadikan pelancongan sebagai pemangkin kepada usaha membangunkan kawasan tanah tinggi yang mundur dan terpencil. Di kawasan yang lebih tinggi altitudnya, perlancongan pergunungan menjadi semakin popular yang dikenali sebagai ‘mountain tourism’. Pelancongan tanah tinggi memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi dan penyediaan pelbagai infrastruktur dan perkhidmatan bagi penduduk di sekitar kawasan tersebut. Namun, memandangkan kedudukannya di altitud tinggi dan keletakan yang terpencil, isu kemerosotan kualiti persekitaran di zon tanah tinggi sukar untuk dipantau dan seringkali terlepas pandang dari aspek penguatkuasaannya (Chan, 2006). Beberapa isu dan cabaran dalam memaju dan membangunkan pelancongan tanah tinggi di Malaysia adalah fokus perbincangan artikel ini.

2.0 LATAR BELAKANG PEMBANGUNAN PELANCONGAN DI MALAYSIA
Di Malaysia, sektor pelancongan mula bertapak sejak zaman kolonial British di Tanah Melayu lagi. Ini terbukti melalui pembukaan pusat peranginan seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Penang Hill (Bukit Bendera) dan Fraser Hill (Bukit Fraser). Menurut Khoo Kay Kim dalam kertas kerjanya yang bertajuk `An Outline History of Culture of Tourism in Malaysia From Culture to Nature’ , sejarah pelancongan di Malaysia sebenarnya masih awal. Kedatangan pelancong antarabangsa bermula pada pertengahan kurun ke - 19 apabila Tanah Melayu ketika itu menjadi tumpuan para peniaga dan pelabur (Watan 29 Mac 1997). Keprihatinan pihak kerajaan terhadap usaha pembangunan sektor pelancongan di negara ini jelas dengan penubuhan Jabatan Pelancongan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada tahun 1959. Sektor pelancongan kurang mendapat perhatian dalam agenda pembangunan ekonomi negara kerana sumbangan hasil komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting ketika itu.

Senario ini mula berubah pada awal tahun 1970an apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk persidangan PATA. Natijahnya, Perbadanan Pembangunan Pelancongan Malaysia (TDC) telah ditubuhkan pada tahun 1972. Perbadanan ini memainkan peranan penting dalam usaha mengawal, menyelenggara dan menyelaras perkembangan industri pelancongan secara lebih efektif dan sistematik. Pada tahun 1973, sektor pelancongan telah menduduki tempat ke-5 dalam sumber eksport negara iaitu selepas getah, kayu balak, bijih timah dan minyak kelapa sawit. Industri ini menyumbangkan sebanyak RM310 juta iaitu 4.9% daripada eksport negara (Pelan Pelancongan Malaysia, 1975). Sektor pelancongan di Malaysia mempamerkan perkembangan pada kadar yang perlahan sehingga tahun 1980. Masalah utama yang dihadapi di negara ini pada ketika itu ialah ‘imej’. Malaysia masih belum memiliki produk pelancongan yang jelas dan boleh diketengahkan dalam pasaran pelancongan antarabangsa seperti Singapura yang terkenal dengan `syurga membeli-belah’ dan Thailand yang popular dengan industri seksnya.

Krisis kemelesetan ekonomi dunia yang berlarutan sehingga awal tahun 1980an telah menyebabkan berlaku kurangan imbangan pembayaran dan perolehan tukaran asing negara. Sektor pelancongan didapati masih dapat terus berkembang dalam tempoh tersebut dengan tukaran wang asing yang diperolehi mencatatkan peningkatan daripada RM713.4 juta pada tahun 1980 kepada RM1 730.6 juta pada tahun 1985 (Rancangan Malaysia Kelima : 444). Perkembangan positif ini telah menjadi sumber inspirasi kepada pihak kerajaan untuk memberikan perhatian yang lebih serius terhadap usaha membangunkan sektor pelancongan. Perancangan ke arah pembangunan sektor ini dilaksanakan dengan lebih giat kerana menyedari hakikat bahawa ia berpotensi besar dalam usaha menjana tukaran wang asing kepada negara. Natijahnya, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan pada tahun 1987. Sehingga Mac 2004, portfolio ini dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Sejajar dengan sumbangan besarnya terhadap ekonomi dan pembangunan negara, kementerian tersebut telah ditukarkan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia sehinggalah ke hari ini.

Kementerian Pelancongan Malaysia berperanan sebagai pemangkin kepada penglibatan dan penyertaan Malaysia dalam sektor pelancongan secara lebih serius dan menyeluruh berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Antara fungsi kementerian ini termasuklah berperanan dalam menyediakan pelbagai insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi yang lebih menyeluruh dan menyediakan peruntukan yang besar untuk memajukan industri ini (Laporan Statistik LPPM 2002). Pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 1990 (TMM 90’) dan 1994 (TMM 94’) adalah usaha terbesar pihak kerajaan dalam memajukan industri pelancongan negara. Kedua-dua projek mega ini telah berjaya mencapai objektifnya.

Statistik ketibaan pelancongan dan perolehan pendapatan antara tahun 1989 - 1990 (TMM 90’) dan tahun 1993 - 1994 (TMM 94’) menunjukkan peningkatan yang pesat dan memberangsangkan. Selepas tahun 1998, didapati peratus pertumbuhan ketibaan pelancong ke Malaysia semakin meningkat dan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan di antara 25.0% sehingga 43% dalam tempoh tahun 1998 - 2002. Demikian juga dengan peratus pertumbuhan pendapatan yang dijana oleh industri pelancongan yang menunjukkan peningkatan pendapatan sehingga mencecah lebih 40.0%. dalam tempoh tersebut.

Meskipun Malaysia secara relatifnya masih baru dalam industri pelancongan, namun ketibaan pelancong terus meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2002, Malaysia memperolehi hasil pendapatan tukaran wang asing sebanyak RM 25.8 billion dengan seramai 13.3 juta pelancong asing berkunjung ke negara ini (Laporan statistik LPPM 2003). Pada tahun 2007, pelbagai program dilancarkan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 07’) dengan sasaran untuk menarik 20.1 juta orang pelancong datang ke negara ini dengan sasaran tukaran wang asing sebanyak RM44.5 bilion. Peruntukan sebanyak RM149 juta disediakan bagi menjayakan TMM 07’ yang bertemakan ‘Sambutan Jubli Emas’ iaitu bersempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara (http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=239734).

3.0 CIRI TARIKAN PELANCONGAN TANAH TINGGI DI MALAYSIA Pelancongan tanah tinggi merupakan suatu bentuk pelancongan yang semakin mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa di Malaysia. Antara kawasan pelancongan tanah tinggi di negara ini ialah Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Fraser (Pahang), Bukit Bendera (Pulau Pinang), Bukit Larut (Perak), Gunung Jerai dan Gunung Mat Chincang (Kedah), Taman Negara Mulu (Sarawak) dan Taman Negara Kinabalu (Sabah).

3.1 Cameron Highlands
Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Cameron Highlands terletak di barat daya negeri Pahang. Selain destinasi pelancongan, Cameron Highlands juga terkenal dengan pengeluaran hasil penanaman teh, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan kebun buah strawberi. Antara ciri tarikan pelancongan lain yang terdapat di Cameron Highlands ialah Taman Rama-rama, Tokong Sam Poh di Brinchang, The Smoke House, The Lake House, Strawberry Park, Taman Camellia Tan, Rainbow Garden, Cactus Valley, Cactus Point, Ladang Uncle Sam, Nursery-Potted Plants, Market Square dan Apiary Farm. Selain itu, di kawasan ini terdapatnya pelbagai spesis tumbuhan jenis hutan tanah tinggi 1000 meter ke atas seperti Geruk, Bintangor, Nyatoh, Medang, Kelat, Perah, Mempening, Berangan, Pedo Bukit, Mata Ulat, Mahang, Meranti Bukit, Merbau dan Mersawa serta beberapa hutan simpan seperti Hutan Simpan Kekal Batu Gangan (481.50 hektar), Hutan Simpan Kekal Mentigi (192.70 hektar), Hutan Simpan Kekal Ulu Lemoi (1625.00 hektar) dan Hutan Simpan Kekal Sungai Kial (112.60 hektar) (http://ms.wikipedia.org/wiki /Cameron_Highlands).

3.2 Genting Highlands
Genting Highlands merupakan sebuah kawasan peranginan yang terletak di Daerah Bentong, Pahang. Daerah ini merangkumi kawasan seluas 183,112.35 hektar (1,831km²). Kedudukannya ke arah timur laut Kuala Lumpur dan bertentangan dengan Banjaran Titiwangsa. Genting Highlands dikenali sebagai Las Vegas Malaysia kerana di sinilah didirikan satu-satunya kasino yang diniagakan secara sah di Malaysia. Kasino ini dikendalikan oleh Kumpulan Genting. Di kawasan percutian ini terletaknya beberapa hotel yang dimilik anak syarikat Genting seperti Genting Hotel, Highland Hotel, Resorts Hotel, Theme Park Hotel, Awana Genting dan First World Hotel. Kemudahan lain di kawasan percutian ini termasuklah taman tema, padang golf, pusat membeli-belah, pusat rekreasi keluarga, dewan konsert dan banyak lagi. Di Genting Highlands juga terletaknya khazanah hutan yang menjadi habitat pelbagai spesis fauna dan flora. Kereta kabel (sky way) merupakan salah satu daripada ciri tarikan pelancong di Genting Highlands. Kereta kabel ini merentasi antara Gohtong Jaya dan puncak Genting Highlands dengan jarak sejauh 3.8 kilometer (http://mswikipedia.org/wiki/Genting_ Highlands).

3.3 Taman Negara Kinabalu
Taman Negara Kinabalu yang dibuka pada tahun 1964 adalah taman negara terawal di Malaysia dan paling popular di rantau ini. Keindahan alam semulajadi, kekayaan flora dan fauna serta tahap perlindungan kawasan ini diiktiraf oleh seluruh dunia dan diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada 2 Disember 2000. Tujuan taman ini diwartakan adalah sebagai usaha bagi mengekalkan keindahan alam serta melindungi flora dan fauna yang terdapat di dalamnya. Antara tarikan utama di Taman Negara Kinabalu dan sekitarnya ialah Gunung Kinabalu, Kundasang dan Poring Hot Springs. Di sekitar Gunung Kinabalu, kawasan hutannya terdiri daripada empat strata hutan iaitu kawasan hutan Dipterokarp Bukit (kawasan hutan yang terdapat di ketinggian antara 300 hingga 750 meter dari paras laut), hutan Dipterokarp Atas (kawasan hutan yang terdapat pada ketinggian 750 hingga 1,200 meter dari paras laut), hutan Montane (kawasan hutan yang terdapat pada ketinggian 1,200 hingga 1,500 meter dari paras laut) dan hutan Ericaceous atau hutan gunung (kawasan hutan yang terdapat pada ketinggian melebihi 1,500 meter dari paras laut) (http://www.bbec.sabah. gov.my /ParkManagement/WAKinabalu.htm).

3.4 Taman Negara Mulu
Taman Negara Mulu terletak di dalam bahagian Miri. Ia telah diwartakan pada 1 Ogos 1974 dengan keluasan 52 876 hektar meliputi Gunung Mulu setinggi 2 377 meter, Gunung Api (1682 meter) dan Gunung Benarat (1615 meter). Pada 29 November 2000, Taman Negara Gunung Mulu telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi memastikan aset semula jadi terus terpelihara daripada ancaman pembangunan. Antara ciri tarikan pelancongan di Taman Negara Gunung Mulu ialah Gunung Mulu, Gunung Api, Gua Pelanduk, Gua Angin, Gua Air Jernih, Gua Susu Bulan dan Gua Lang. Selain itu, terdapat 1,500 spesis bunga hutan, 262 spesis burung, 170 spesies orkid, 10 spesies periuk kera, 67 spesies mamalia, 8 spesies burung kenyalang, 74 spesies katak, 281 jenis rama-rama dan kupu-kupu serta ratusan spesis kulat dan serangga (http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBI/detailphp?ection=.sm04&spesifik_id=450&ttl _id =50). Taman Negara Mulu memiliki empat jenis strata hutan iaitu hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan hutan Ericaceous atau hutan gunung.

3.5 Bukit Fraser
Bukit Fraser atau Fraser Hill merupakan sebuah kawasan peranginan tanah tinggi yang terletak di Daerah Raub, Pahang. Antara ciri tarikan pelancong yang terdapat di Bukit Fraser ialah kawasan ini merupakan syurga kepada para pemerhati burung kerana ia menjadi habitat kepada 270 spesies burung. Kebanyakan burung ini merupakan spesis yang terdapat di negara lain yang datang berhijrah ke kawasan Bukit Fraser untuk mencari makanan dan sebagai habitat sementara sebelum burung ini kembali semula ke negara asal mereka selepas musim sejuk berakhir di sana. Bukit Fraser juga merupakan sebuah destinasi yang menarik dengan persekitaran yang dingin serta pengekalan ciri kolonial masa lalu seperti seni bina ala Todur’ dan suasana perkampungan Inggeris. Selain itu, tarikan pelancongan lain yang terdapat di Bukit Fraser ialah denai hutan yang panjangnya antara 1 kilometer hingga 5 kilometer. Antaranya ialah denai Bishop sejauh 1,500 meter, Abu Suradi sejauh 500 meter, Hemmant sejauh 1,000 meter, Maxwell sejauh 1,800 meter, Mager sejauh 1,000 meter dan Kindersley sejauh 750 meter. Antara laluan lain ialah Rompin sejauh 500 meter dan yang terpanjang ialah Pine Tree sejauh 5,000 meter (http://www.pkbf.org.my/history2.htm).

3.6 Bukit Larut
Bukit Larut (Bukit Maxwell) terletak di Taiping, Perak. Kawasan ini merupakan lokasi yang paling lembab di Malaysia. Bukit Larut adalah pusat peranginan tanah tinggi yang tertua di Malaysia. Ia dikenali sebagai Bukit Maxwell bersempena nama seorang residen British iaitu George Maxwell yang bertugas di kawasan itu pada tahun 1880. Antara ciri tarikan pelancongan yang ada di sekitar Bukit Larut ialah penanaman bunga tulip yang berwarna-warni, banglo zaman kolonial British seperti The Cottage (kediaman Residen British pertama, J.W.W Birch), Rumah Rehat Bukit Larut, Banglo Beringin (Rumah Rehat Watson), Banglo Angkasa (The Federal Bungalows), Banglo Cendana (The Hut), Banglo Tempinis (Banglo Treacher), Sri Kayangan (The Box) dan Rumah Rehat Gunung Hijau (The Speedy Resthouse), Taman Teh (Tea Garden) dan berek rumah papan pekerja ladang teh yang pernah dijadikan hospital ketika zaman Perang Dunia Kedua (http://tanah.perak.gov.my/pdttaiping/indexphp?bhg=geografi&isi =statistik&id=1).

3.7 Gunung Jerai
Gunung Jerai juga dikenali sebagai Puncak Kedah. Gunung ini berkongsi kawasan di antara daerah Kuala Muda dan daerah Yan, Kedah. Terdapat pelbagai ciri tarikan pelancongan di Gunung Jerai. Antaranya ialah Tangga Kenari (laluan utama bagi pendaki berjalan ke puncak Gunung Jerai), Hutan Lipur Tupah yang berada dalam Hutan Simpan Gunung Jerai serta air terjun yang mengalir dari puncak Gunung Jerai sepanjang 2 kilometer yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berkelah, beristirehat dan aktiviti berkumpulan, chalet yang diperbuat daripada kayu dengan reka bentuk kolonial, flora dan fauna tropika seperti ‘bunga kembang tiga bulan’ serta tumbuhan periuk kera. Di samping itu, terdapat kesan peninggalan silam seperti Batu Kapal, Padang Tok Syeikh, Air terjun Alur Naga dan Telaga Tok Syeikh yang ada kisah tersendiri di kawasan tanah tinggi ini (http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Jerai).

3.8 Gunung Mat Chincang
Gunung Mat Chincang terletak di barat laut Pulau Langkawi merupakan gunung yang kedua tertinggi selepas Gunung Raya. Gunung ini juga telah diwartakan sebagai “Geopark” oleh UNESCO (http://ms.wikipedia.org/wiki/Langkawi). Ciri tarikan utama di Gunung Mat Chincang ialah perkhidmatan kereta kabel yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dan Gunung Mat Chincang. Kereta kabel ini telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kereta kabel tanpa tiang yang terpanjang di Malaysia iaitu sejauh 2.2 kilometer. Perkhidmatan kereta kabel ini mempunyai dua stesen di sepanjang perjalanan yang memberi peluang kepada pelawat untuk singgah di pertengahan jalan atau meneruskan destinasi ke puncak Gunung Mat Chincang. Selain itu, di puncak gunung ini terdapat pelantar setinggi 713 meter dari paras laut, ia dibina khas untuk menyaksikan pemandangan lebih menyeluruh kawasan sekitar Pulau Langkawi. Di bahagian lain di puncak gunung ini, terdapat satu jambatan gantung yang dibina dengan menggunakan besi keluli yang menghubungkan Gunung Mat Chincang dengan sebuah gunung lain yang bersebelahan dengannya. Dari atas jambatan gantung ini, pelawat boleh melihat keseluruhan Pulau Langkawi dan beberapa kawasan di negara lain di seberang laut.

4.0 ISU DAN CABARAN PEMBANGUNAN PELANCONGAN TANAH TINGGI DI MALAYSIA
Pembangunan pelancongan tanah tinggi di Malaysia melibatkan beberapa pihak yang berkepentingan dalam konteks memaju, membangun dan menjalankan operasinya. Pada masa yang sama, kawasan tanah tinggi adalah zon yang ‘rapuh’ sifatnya. Justeru, tindakan penerokaan dan eksploitasi yang dijalankan secara berterusan akan membawa pelbagai impak sama ada daripada aspek alam sekitar, ekonomi, sosiobudaya dan pengurusannya. Terdapat beberapa isu dan cabaran dalam usaha membangun dan memajukan kawasan tanah tinggi negara sebagai destinasi pilihan pelancong domestik mahupun antarabangsa di Malaysia.

4.1 Isu dan cabaran perancangan
Meskipun sektor pelancongan di kawasan tanah tinggi berkembang seiring dengan perkembangan pembangunan pelancongan di peringkat nasional, namun pelancongan di kawasan ini masih tidak jelas kedudukannya dalam konteks penyediaan rancangan pembangunan khususnya pelan tempatan ataupun wilayah. Meskipun, setiap negeri di Malaysia mempunyai Pelan Pembangunan Negeri masing-masing, namun sektor pelancongan hanyalah sebahagian daripada pelan tersebut manakala fokus khusus terhadap pelancongan tanah tinggi adalah terbatas di negeri yang menjadikan ia sebagai produk pelancongan utamanya seperti Taman Negara Mulu di Sarawak, Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Genting Highlands di Pahang. Malah, perancangan pembangunan pelancongan turut berhadapan dengan pelbagai kerumitan terutamanya dari aspek prosedur yang terpaksa melalui pelbagai agensi dan jabatan sama ada yang mempunyai kepentingan secara langsung ataupun tidak langsung dalam pembangunan pelancongan di Malaysia (Jabil, 2005). Tambahan pula, sektor pelancongan di kawasan tanah tinggi didapati tidak terlibat secara langsung di dalam setiap agensi yang mungkin mempengaruhi pelancongan ataupun yang dipengaruhi oleh sektor pelancongan itu sendiri.

Pembangunan di kawasan tanah tinggi yang semakin pesat sejak kebelakangan ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor kepesatan pelancongan tetapi juga peningkatan penyediaan infrastruktur, aktiviti pembukaan kawasan pertanian dan perladangan serta pembinaan kawasan perumahan dan premis perniagaan. Justeru, timbul masalah untuk menentukan tahap kawalan pembangunan di kawasan ini, dan sekaligus berkaitrapat dengan aspek penguatkuasaan peraturan dan undang-undang untuk penzonan guna tanah, aktiviti penstrukturan tapak binaan serta kawalan binaan khususnya di lereng-lereng bukit yang curam. Isu lain yang timbul termasuklah kekurangan prosedur seperti prosedur ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan ataupun impak persekitaran, kurangnya peraturan yang jelas dan amalan penguatkuasaan yang tidak konsisten. Oleh itu, aspek perancangan gunatanah dan kawalan pembangunan adalah cabaran utama dalam memajukan sektor pelancongan di kawasan tanah tinggi. Apatah lagi, kawasan tanah tinggi adalah zon yang sangat ‘rapuh’ dan sensitif dari aspek persekitarannya (Lim dan Lee, 1992).

Di beberapa kawasan tanah tinggi di Malaysia, terdapat beberapa tapak kawasan merupakan hakmilik persendirian, justeru tidak kesemua kawasan yang menarik untuk pelancongan di tanah tinggi boleh dikunjungi. Di kawasan tanah tinggi seperti ladang teh di Cameron Highlands, ada di antaranya adalah milik persendirian, justeru akses ke kawasan itu adalah terhad. Peraturan yang diperuntukkan pada masa kini hanya menyediakan sedikit kuasa untuk mengawal kegunaan tanah persendirian. Pada musim yang paling sibuk kunjungan pelancong dan pelawat, penggunaan kawasan awam akan tertumpu di lokasi tertentu sahaja di sesetengah pusat peranginan tanah tinggi seperti Genting Highlands, Taman Negara Kinabalu dan Cameron Highlands. Situasi ini akan menyebabkan masalah kesesakan tempat letak kereta dan penggunaan rekreasi di kawasan berkenaan terutamanya pada waktu hujung minggu, musim cuti persekolahan atau pada bulan-bulan pelancong asing ramai berkunjung ke Malaysia kerana cuti musim panas di negara mereka. Perancangan terhadap penggunaan kawasan awam dan akses tanah hakmilik persendirian di kawasan tanah tinggi adalah isu yang perlu diambilkira dalam usaha memajukan kawasan tanah tinggi di Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

4.2 Isu dan cabaran sosiobudaya
Aspek kesedaran, kefahaman dan amalan penduduk tempatan adalah suatu cabaran dalam usaha untuk mengekal dan memulihara kawasan pelancongan tanah tinggi di Malaysia. Pada masa ini, hanya sebahagian kecil penduduk tempatan terlibat dalam aspek perancangan dan pengurusan sektor pelancongan. Persepsi penduduk terhadap kehadiran pelancong di kawasan mereka adalah penting. Kepuasan dan persepsi penduduk merupakan faktor penting dalam menjadikan destinasi pelancongan tanah tinggi terus mampu dibangunkan dengan jayanya. Kesemua ini akan mempengaruhi cara mana pelancong akan dilayan, cara mana mereka diuruskan, ke mana mereka akan dibawa dan jenis aktiviti yang bakal ditawarkan. Dengan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan domestik ke destinasi pelancongan tanah tinggi di Malaysia, tekanan kepada komuniti boleh berubah. Aspek demografik, sikap, kos sosial dan ekonomi dan faedah daripadanya akan turut berubah,sekaligus mempengaruhi kehidupan, perumahan dan struktur sosial tempatan mereka. Terdapat beberapa daripada perubahan ini didapati menguntungkan seperti meningkatkan pendapatan penduduk hasil daripada kekerapan kunjungan pelancong, memberikan pekerjaan kepada golongan muda, menggalakkan pembukaan rangkaian yang lebih luas bagi pelbagai premis perniagaan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti untuk penduduk tempatan.

Keselamatan awam dam keselamatan diri pelancong merupakan isu global yang mempengaruhi kunjungan pelancong ke kawasan tarikan pelancogan tanah tinggi di Malaysia. Lazimnya, pelancong memerlukan jaminan bahawa mereka akan selamat dalam perjalanan, ketika berada di lokasi pelancongan dan berharap pihak berkuasa di kawasan itu membantu mereka sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah. Tahap keselamatan mempengaruhi mereka untuk mengunjungi sesuatu kawasan. Masalah kemalangan, jenayah dan penipuan dengan mengenakan tambang yang terlalu mahal oleh pemandu teksi antara yang menjadi kebimbangan pelancong apabila perlu melancong ke pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia. Selain itu, laporan mengenai kelemahan, keburukan atau insiden tertentu seperti kejadian tanah runtuh di kawasan pelancongan tanah tinggi yang dipaparkan melalui media massa akan menyebabkan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri pelancongan menerima impak yang negatif. Sebagai contoh laporan media massa mengenai tanah runtuh yang berlaku di tanah tinggi Cameron Highlands menyebabkan kadar ketibaan pelancong ke kawasan tanah tinggi tersebut menurun sebanyak 20% dan lebih daripada 70% perusahaan perniagaan menghadapi kerugian (The Star, Khamis 25 November 2004), meskipun beroperasi pada musim perayaan dan cuti sekolah. Laporan mengenai tanah runtuh akan menyebabkan pelancong merasa takut dan tidak selamat berada di kawasan tersebut. Ini akan menyebabkan banyak perkhidmatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan akan menghadapi masalah akibat daripada kemerosotan kehadiran pelancong (Yee, S. K & Chan, N.W, 2006).

Usaha meningkatkan bilangan, kualiti dan ketersediaan perkhidmatan utama yang diperlukan dalam pelancongan tanah tinggi adalah mustahak bagi membolehkan pelancong akses kepada kawasan persekitaran di sepanjang mereka berada di sesebuah pusat peranginan tanah tinggi itu. Tahap kepuasan pelancong dianggap sebagai salah satu faktor kejayaan asas dalam pembangunan pelancongan tanah tinggi di Malaysia. Perubahan jangkaan pelancong dan sama ada ia dapat dipenuhi, bilangan dan kekerapan rungutan, laporan pelancong tentang masalah dan pengalaman baik mereka didapati akan mempengaruhi masa hadapan pelancongan. Meskipun keperluan untuk melangkaui jangkaan pelancong diberi keutamaan, namun, perhatian masih perlu diberikan kepada semua aspek dalam produk pelancongan meliputi cara penyediaan perkhidmatan, ruang penginapan yang terbuka luas dan juga kualiti yang tertinggi bagi aspek yang dapat diperhatikan atau dilakukan oleh pelancong di kawasan tersebut. Usaha untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan sepanjang ke kawasan tanah tinggi juga perlu diberikan perhatian. Ia bagi memastikan aksesibiliti yang sempurna dan infomasi yang berkualiti tinggi dan terkini berkenaan dengan kawasan itu agar impak persekitaran pada kunjungan mereka dapat dikurangkan ke tahap minimum.

4.3 Isu dan cabaran ekonomi
Isu penglibatan penduduk tempatan dalam pembangunan pelancongan di satu-satu kawasan adalah aspek yang diberikan perhatian yang serius dan khusus dalam usaha mencapai pembangunan mampan. Penduduk tempatan dan masyarakat orang asli memperolehi manfaat daripada pelancongan khususnya berasaskan alam sekitar melalui penglibatan mereka dalam perniagaan dan perkhidmatan secara kecil-kecilan (Van der Straaten, 2000). Pada umumnya, semua pihak yang berkepentingan perlu bekerjasama antara satu dengan yang lain untuk menyediakan suatu produk pelancongan di kawasan tanah tinggi yang bermutu berdasarkan keperluan pasaran tempatan dan luar negara. Antara faktor kejayaan pembangunan pelancongan tanah tinggi adalah kewujudan sokongan dan penerimaan positif penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut. Mereka merupakan orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan segala kehidupan dan persekitaran kawasan tersebut. Usaha meningkatkan penyertaan komuniti tempatan dalam pembangunan pelancongan dan seterusnya meningkatkan tahap persekitaran secara amnya adalah aspek yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Ini dilaksanakan dengan cara memberikan sokongan kepada penglibatan komuniti dalam membangunkan skim tempatan yang bermatlamat untuk menyediakan peluang kepada pelancong berinteraksi dengan penduduk tempatan dan mendapatkan maklumat lanjut tentang sesuatu tarikan di kawasan tanah tinggi ataupun maklumat tentang kawasan itu, contohnya meyediakan sambutan pelancong melalui pelbagai persembahan seni dan kebudayaan, taklimat dan penerangan, aktiviti sosial dan sebagai pemandu jalan untuk menjelajah sekitar tanah tinggi atau kawasan pedalamannya. Seterusnya mengkaji potensi untuk peningkatan kawasan pedalaman khususnya tumpuan terhadap tahap kualiti alam sekitar dan pengalaman pelancong.

Pembangunan sektor pelancongan di kawasan tanah tinggi turut melibatkan isu pemilikan perniagaan. Kebanyakan perniagaan dalam sektor pelancongan adalah dari kalangan organisasi antarabangsa yang berskala besar. Sementara itu, masalah kekurangan pembangunan dan perniagaan pelancongan berskala kecil, termasuklah agensi pelancongan dan perkhidmatan khusus kepada pelancong masih pada tahap yang kurang memberangsangkan dan tidak kompetitif. Terdapat banyak pengusaha kecil-kecilan, agensi pelancongan dan pakej perjalanan di pusat peranginan tanah tinggi di negara ini masih tidak diselaraskan dengan baik dan berkesan. Malah, kebanyakan penginapan (hotel, resort dan sebagainya) dan agensi pelancongan di tanah tinggi di negara ini terlalu menumpukan kepada hasil jualan dan pendapatan dari perkhidmatan yang digunakan oleh pelancong. Pengusaha penginapan dan agensi pelancongan perlu menawarkan produk pelancongan yang ada di kawasan sekitar mereka terutamanya sesuatu yang lebih menarik seperti pengembaraan, pelancongan alam semulajadi, mempromosikan masakan tempatan, pameran budaya masyarakat orang asli dan sebagainya. Mereka perlu memaksimumkan tarikan semulajadi di kawasan tanah tinggi dan mula menumpukan kepada pelancongan berasaskan alam sekitar. Kebanyakan hotel memberikan urusan perniagaan berkaitan ekopelancongan kepada operator individu yang tidak mempunyai kemahiran dan tidak mempunyai prospek pasaran yang luas (Yee, S. K. & Chan, N.W, 2006).

Sehubungan itu, terdapat sesetengah pemandu pelancong di kawasan tanah tinggi tidak mempunyai lesen dan sijil kelayakan untuk membawa pelancong. Ada dalam kalangan mereka yang kurang arif tentang asas penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. Kebiasaannya pemandu pelancong yang tidak bertauliah ini akan membawa pelancong masuk ke dalam hutan dan mengambil peluang tersebut untuk mengumpul tumbuhan yang jarang ditemui untuk dijual. Tindakan ini amat memalukan pada kaca mata pelancong yang mempunyai tahap kesedaran persekitaran yang tinggi. Selain itu, sesetengah aktiviti yang dianjurkan oleh mereka ini akan memusnahkan biodiversiti hidupan dan seterusnya menyebabkan kepupusan. Oleh demikian, mereka yang ingin menjadi pemandu pelancong seharusnya dilatih dan mempunyai kelayakan secara sah sebelum terlibat sebagai pemandu pelancong (Yee S. K. & Chan, N.W, 2006). Selain itu, usaha perlu dilakukan oleh pihak kerajaan tempatan bagi memastikan kakitangan dan pekerja di organisasi sektor awam yang berkaitan dengan pelancongan mempunyai pengetahuan yang baik tentang pelancongan di kawasan mereka.

4.4 Isu dan cabaran alam sekitar
Sejak setengah abad yang lalu, kawasan tanah tinggi di Malaysia telah mengalami pembangunan yang pesat. Menurut Chan, N. W. (2006), aktiviti penerokaan tanah untuk tujuan pertanian, petempatan, pembinaan lebuhraya, empangan dan kemudahan asas yang lain telah menggiatkan aktiviti penebangan hutan, sekaligus membawa kepada kemerosotan kualiti persekitaran di kawasan tanah tinggi. Sebagai contoh, masalah hakisan tanah, kejadian tanah runtuh, pemendapan sungai, pencemaran air, peningkatan suhu mikro yang mengancam kehidupan di Cameron Highlands. Sektor pertanian telah dikenalpasti sebagai salah satu punca kepada kemerosotan kualiti persekitaran di kawasan tanah tinggi iaitu melalui penggunaan baja, racun perosak dan amalan pertanian yang tidak sistematik (Kumaran dan Ainuddin, 2006).

Selain itu, masalah pembuangan sisa pepejal dan sampah di kawasan tanah tinggi ini juga dikatakan semakin serius. Sampah-sarap daripada kawasan pelancongan dan yang dibuang oleh pelancong dan pengunjung juga harus diberikan perhatian awal sebelum ia kritikal seperti pelancongan di kawasan pinggir pantai dan destinasi pelancongan yang lain. Terdapat beberapa kawasan pelancongan tanah tinggi yang masih mempunyai pengurusan pembuangan sisa pepejal yang lemah. Peningkatan kunjungan pelancong pada musim tertentu menyebabkan meningkatnya kerja pengumpulan dan pembuangan sampah-sarap. Ini sekaligus menampakkan tentang tahap kesedaran alam sekitar yang rendah. Selain itu, rawatan kumbahan adalah mustahak kerana kawasan tinggi sebegini juga merupakan punca kepada aliran sungai ke kawasan rendah. Di kebanyakan kawasan pelancongan khususnya yang melibatkan hotel penginapan yang beroperasi secara kecil-kecilan ditakuti akan melepaskan sisa kumbahan ke sungai berdekatan sama ada secara sengaja ataupun tidak.

4.5 Isu dan cabaran pengurusan
Industri pelancongan di tanah tinggi perlu mempromosikan keistimewaan dan tarikan yang ada di kawasan tersebut kepada media massa untuk menarik lebih ramai pelancong sama ada dalam mahu pun luar negara ke kawasan tersebut. Selain itu, kewujudan laman web (http://tourism.gov.my/) yang memberikan maklumat tentang pelancongan tanah tinggi di Malaysia secara berasingan menyebabkan industri pelancongan di kawasan tanah tinggi di Malaysia kurang dikenali. Walaupun terdapat laman web Pelancongan Malaysia (Malaysia Tourism), namun maklumat mengenai pelancongan tanah tinggi yang dibekalkan di dalam laman web ini amat sedikit dan terhad serta maklumat yang dipamerkan adalah mengikut bahagian iaitu mengikut tempat keletakan kawasan tanah tinggi tersebut dan bukannya secara menyeluruh dan bersepadu bawah satu tema iaitu pelancongan tanah tinggi di Malaysia. Walaupun kita mengetahui bahawa kawasan tanah tinggi di Malaysia mempunyai tarikan yang tersendiri serta warisan alam semulajadi yang unik, namun begitu ketiadaan promosi secara bersepadu terhadap kawasan perlancongan ini maka keunikan yang ada pada kawasan pelancongan tanah tinggi ini tiada nilainya. Pihak yang terlibat sepatutnya mempromosikan kawasan pelancongan di tanah tinggi ini secara meluas dan efektif untuk memperkenalkan destinasi pelancongan tersebut seperti mana ciri tarikan pelancongan lain. Dengan adanya promosi yang sedemikian maka pelancongan tanah tinggi boleh dimajukan dan berkembang di negara ini (Yee, S. K. & Chan, N.W, 2006).

Selalunya keadaan ini wujud kesan daripada jurang yang besar di antara Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Jawatankuasa Pelancongan Negeri yang memiliki kawasan pelancongan tanah tinggi (Pahang, Kedah, Perak, Penang, Sabah dan Sarawak), persatuan pemilik hotel, persatuan agensi pelancongan, pemandu pelancong dan jabatan kerajaan yang berkaitan. Pada tahap ini, kebanyakan kawasan pelancongan tanah tinggi di Malaysia masih kekurangan penyelarasan dan integrasi dalam kalangan pihak yang terlibat dengan usaha pembangunan dan yang terlibat dengan promosi bagi aset yang berbeza. Ia masih lagi sukar untuk melihat suatu pakej perjalanan yang terancang untuk pelancong dapat melawat ke tempat tertentu seperti di Genting Highlands, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser atau kawasan tarikan sekitarnya. Sebenarnya kesemua pihak yang terlibat dengan industri pelancongan ini perlu berkerjasama bagi menyelaraskan segala aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan, perlaksanaan dan pengurusan pelancongan di Malaysia. Sebagai contoh, jabatan kerajaan yang terlibat dengan industri ini boleh bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan dan menguruskan industri pelancongan tanah tinggi di negara ini. Usaha mempertingkatkan penyelarasan aktiviti di antara pelbagai badan sektor awam yang terlibat dalam pembangunan pelancongan bagi memastikan prasarana, kemudahan dan perkhidmatan menyediakan faedah berlipat ganda kepada komuniti dan pelancong dan menngunakan dengan cara yang terbaik bagi sumber yang ada. Ini dapat dilakukan dengan menggalakkan rangkaian yang berkualiti dan memperbaiki kolaborasi dan kerjasama di antara perniagaan dan di antara badan sektor awam dan swasta.

Kekurangan maklumat mengenai sesuatu destinasi pelancongan tanah tinggi juga menyumbang kepada masalah kepada pelancong yang ingin mengunjungi mana-mana destinasi pelancongan tersebut. Kekurangan dan ketiadaan maklumat mengenai sesuatu destinasi percutian tersebut bukan sahaja menyebabkan pelancong tawar hati untuk ke sana malahan mereka yang terlibat dengan industri ini juga akan turut mengalami kerugian. Sebagai contohnya, jika kita lihat pada masa dahulu, apabila pelancong datang ke kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, para pelancong akan mencari Pusat Maklumat Pelancongan berkaitan dengan Cameron Highlands di Bandar Tanah Rata, malangnya tiada Pusat Maklumat Pelancongan disediakan di sana. Pusat maklumat Pelancongan ini memainkan peranan penting kepada pelancong kerana ia memudahkan para pelancong untuk mengetahui lokasi seperti hotel, aktiviti yang ditawarkan, tarikan pelancongan yang ada, peta kawasan sekitar dan sebagainya. Kekurangan maklumat tentang sesuatu kawasan itu akan menyebabkan pelancong hanya tinggal di kawasan tersebut dalam jangka masa pendek dan tidak menyedari akan tarikan yang ada pada kawasan tanah tinggi tersebut (Yee, S. K. & Chan, N.W, 2006). Masalah ini turut berlaku di kawasan pelancongan tanah tinggi yang berskala kecil seperti Gunung Jerai, Bukit Bendera dan Bukit Larut. Dengan berkembang pesatnya pembangunan pelancongan tanah tinggi di Malaysia, wujudnya peningkatan dalam keperluan untuk memperolehi maklumat yang baik, tepat dan cepat pada tahap perniagaan dan individu yang terlibat atau terkesan oleh pelancongan ini. Situasi ini sepatutnya, mampu meningkatkan lagi penglibatan dan berupaya ‘bergerak’ ke dalam kesemua bahagian dalam komuniti termasuk kerajaan, perniagaan dan institusi untuk mencapai matlamat yang sama.

Kebanyakan pelancong, sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong asing secara umumnya merupakan pelawat sementara yang tinggal sekejap sahaja di sesuatu kawasan. Mereka hanya bermalam satu atau dua hari sahaja. Hal ini terjadi kerana tidak semua kawasan pelancongan tanah tinggi di negara ini mempunyai produk pelancongan yang boleh menarik minat pelancong untuk tinggal lebih lama di kawasan tersebut. Tanpa adanya produk pelancongan, para pelancong akan mudah merasa bosan dan akan menyebabkan mereka tidak tinggal lama di sesuatu kawasan. Terdapat potensi yang amat besar untuk membangun dan memajukan ciri tarikan pelancongan tanah tinggi khususnya daripada aspek kualitinya agar membolehkan pelancong lebih lama tinggal atau berada di kawasan itu dan seterusnya membelanjakan lebih wang. Ciri tarikan pelancongan di tanah tinggi perlu konsisten dari aspek perkhidmatan, infrastruktur dan daya tarikannya untuk memastikan pelancong memiliki kualiti pengalaman yang terbaik secara keseluruhannya. Hanya di Genting Highlands dan Taman Negara Kinabalu yang banyak menawarkan ciri tarikan untuk pelancong, kawasan pelancongan lain seperti Gunung Jerai, Gunung Mat Chincang, Bukuit Fraser dan Bukit Larut, masih kekurangan aktiviti sosial, program untuk pelancong, kurang agensi pelancong dan pakej yang ditawarkan dan keterhadan produk pelancongan.

Namun yang ironinya, kawasan pelancongan tanah tinggi di negara ini mempunyai banyak produk pelancongan yang belum dimajukan lagi tetapi mempunyai potensi yang besar untuk maju. Antaranya ialah hutan dan persekitarannya yang tidak tercemar, kepelbagaian hidupan, sungai, sumber tani, aktiviti pelancongan yang mencabar, memerhati kepelbagaian haiwan, safari, bangunan bersejarah, budaya masyarakat orang asli, kraftangan dan sebagainya. Namun, semua produk ini perlu dimajukan dan dipromosikan dan dijadikan satu pakej untuk memastikan para pelancong tinggal lebih lama di satu-satu kawasan sekurang-kurangnya tiga hari hingga tujuh hari untuk melihat, merasai dan mengalami tarikan pelancongan tersebut. Dalam hal ini, bukan sahaja produk pelancongan perlu ditingkat dan diperbagaikan malahan penambahan bilangan pelancong juga sebagai pelawat akan turut sama meningkat untuk menetap dalam tempoh yang lebih lama. Oleh demikian, adalah penting untuk memajukan laluan ‘trekking’, pelancongan pertanian, pelancongan budaya, mengambil foto hidupan liar dan aktiviti memerhati di kawasan pelancongan tanah tinggi di negara ini (Clifton, 2004).

5.0 RUMUSAN
Pembangunan yang pesat di kawasan pelancongan tanah tinggi memerlukan suatu mekanisme perancangan dan pengurusan yang komprehensif, teliti dan bersepadu memandangkan ia terdedah dengan pelbagai ancaman kemerosotan kualiti persekitaran seperti pencemaran, tanah runtuh, gangguan keseimbangan ekosistem dan perubahan iklim mikro. Ringkasnya, sistem pengurusan pelancongan tanah tinggi yang bersepadu di Malaysia perlu mengambilkira penglibatan pelbagai pihak yang ada kepentingan bersama seperti penduduk tempatan, pelancong, pengusaha hotel, agensi pelancongan, badan bukan kerajaan, swasta, kerajaan tempatan dan persekutuan.

6.0 BIBLIOGRAFI
Chan, N. W. (ed.). 2006. Cameron Highlands : Issues & Challenges in Sustainable
Development. Penang : School of Humanities, Universiti Sains Malaysia, iv – v.

Chan, N.W. (ed.) 2004 Ecoturism : Issues and Challenges. Penang : School of
Humanities, Universiti Sains Malaysia.

Clifton, J. (2004). Ecotourism: Theory, Reality and Challenges. In Chan, N.W. (Ed.)
Ecotourism : Issues & Challenges. Penang: School of Humanities, Universiti Sains
Malaysia, 1-10.

Jabil Mapjabil. 2005. Impak pelancongan terhadap persekitaran zon pinggir pantai di
bahagian utara Pulau Pinang. Tesis PhD. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kumaran, S dan Ainuddin A. N. 2006. Forest, water and climate of Cameron Highlands.
In Chan, N. W. (ed.). Cameron Highlands: Issues & Challenges in Sustainable
Development. Penang: School of Humanities, Universiti Sains Malaysia.

Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia.2003. Laporan statistik LPPM tahunan
2002. Kuala Lumpur.

Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia.2004. Laporan statistik LPPM tahunan
2003. Kuala Lumpur.

Lim, R. P. dan Lee, S. W. (eds.). 1992. Hill development : Proceeding of the seminar.
Malayan nature Society, Kuala Lumpur.

Malaysia. 1975. Pelan Pelancongan Malaysia. Perbadanan Kemajuan Pelancongan
Malaysia. Kuala Lumpur.

Malaysia. 1985. Rancangan Malaysia Kelima, 1985 - 1990 : 444.

The Star, Khamis 25 November 2004

Van der Straaten. 2000. ‘Can sustainable tourism positively influence rural regions?’
Dalam Richard, G dan Hall, D (eds). Tourism and Sustainable Development.
London. Routledge.

Watan. 29 Mac 1997.

Yee, S. K and Chan, N. W.. 2006. Tourism in the Cameron Highlands : Issues,
Prospects and Challenges. N Chan, N. W (ed.) Cameron Highlands: Issues &
Challenges in Sustainable Development. Penang: School of Humanities, Universiti
Sains Malaysia.

http://www.bbec.sabah.gov.my/ParkManagement/WAKinabaluhtm

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=239734

http://www.pkbf.org .my/history2.htm

http://ms.wikipedia.org/wiki /Cameron_Highlands

http://ms.wikipedia.org/wiki/Genting_ Highlands

http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Jerai

http://ms.wikipedia.org/wiki/Langkawi

http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBI/detail php?ection=. sm04&spesifik_id=450&ttl id=50

http://tanah.perak.gov.my/pdttaipi ng/indexphp?bhg=geografi&isi =statistik&id=1
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...