24 Julai 2009

Switzerland

Pergunungan Alps
Di tengah-tengah Eropah Barat, tersergam satu penghalang yang mengkagumkan, terdiri daripada batuan, ais dan salji, yang bermula dari Perancis di Mediterranean menembusi Switzerland, dan terus di sepanjang sempadan selatan Jerman ke timur Austria. Rangkaian puncak, lembah, sungai dan glasier ini menembusi tujuh negara dan membentuk satu bulan sabit yang menakjubkan, iaitu sepanjang kira-kira 1,200 km. Apakah bentuk geologi yang luas terbentang ini? Kita menggelarnya sebagai Pergunungan Alps, yang ringkasnya bermaksud gunung.

Pergunungan Alps ialah banjaran yang tertinggi di Eropah Barat. Kemuncak paling tingginya, iaitu Puncak Blanc, menjulang sehingga 4,807 m — kira-kira setengah daripada altitud Everest, yang merupakan gunung tertinggi di dunia. Pergunungan Alps menjangkau ke Perancis, Switzerland, Itali, Jerman, Austria, Slovenia dan Liechtenstein —sebuah kerajaan kecil yang diduduki oleh 25,000 orang (kira-kira saiz sebuah bandar kecil). Pergunungan ini mengisi sedikit sahaja daripada kawasan tanah di Perancis, Jerman, Itali dan Slovenia. Pergunungan ini juga mempengaruhi budaya di negara Switzerland dan Austria, sementara Liechtenstein yang kecil pula dikuasai penuh olehnya.

Sungguhpun kelihatan begitu teguh dan tahan, Pergunungan Alps tidaklah setua bumi. Malah, berbanding dengan umur yang dianggarkan bagi planet kita, iaitu kira-kira 4,600 juta tahun, banjaran ini adalah sangat muda. Pergunungan Alps hanya terbentuk semasa waktu geologi yang baru.

Hampir 180 juta tahun dahulu, permukaan bumi kelihatan sangat berbeza daripada hari ini. Semua benua bersatu dan membentuk benua yang sangat besar, yang disebut Pangaea. Pangaea berpecah secara beransur-ansur, pada mulanya kepada dua tompokan tanah yang besar, iaitu Gondwanaland dan Laurasia. Dua benua ini seterusnya berpecah lagi dan, dengan perlahan-lahan, Afrika bergerak ke utara, iaitu ke arah tompokan tanah Eurasia.

Kira-kira 45 juta tahun dahulu, Afrika berlanggar dengan Eurasia. Hentamannya begitu hebat sekali, memenyek dan melenyek lapisan batuan menjadi lipatan yang dramatik. Lipatan batuan ini ditolak tinggi ke atas permukaan bumi dan membentuk satu banjaran pergunungan yang baru - Pergunungan Alps. Banjaran Himalaya terbentuk pada masa yang agak sama, apabila benua kecil India berlanggar dengan Asia. Para saintis percaya bahawa Pergunungan Alps masih membesar sehingga hari ini sungguhpun proses ini diimbangi oleh hakisan yang sentiasa menghauskan batuan.

Sifat geologi bagi kawasan Alps amat berbeza sekali. Sesetengah daripada pergunungan ini dibentuk oleh batuan keras igneus, jauh dari dalam kerak bumi. Sesetengah daripada batuan tersebut telah mengalami metamorfosis di bawah tekanan, dan membentuk sabak dan gneis. Terdapat juga batuan sedimen, seperti batu kapur. Pergunungan batu kapur yang paling terkenal di Alps ialah puncak Dolomite di utara Itali, yang telah diluluhawa secara dramatik.

Air, dalam pelbagai bentuk, terdapat dengan banyaknya di Pergunungan Alps. Sungai Rhine dan Rhóne yang sangat besar bermula di Switzerland tengah, manakala Sungai Po bermula di Alps Itali. Sungai di Pergunungan Alps biasanya mengalir deras, dan airnya yang berwarna hijau keruh dipenuhi di setiap musim bunga oleh ais dan salji yang cair dengan banyaknya. Sesetengah anak sungai gunung menjunam turun dan permukaan batu curam, menghasilkan air terjun yang menakjubkan. Sebagai perbandingan, tasik yang banyak terdapat di seluruh kawasan Alps adalah tenang dan kudus, dan biasanya berwarna hijau tua yang indah.

Terdapat glasier yang hebat di sana sini di sekitar Pergunungan Alps. Glasier adalah lidah ais yang bergerak perlahan, yang terdapat di lembah tinggi di sekitar gunung-ganang yang menjulang. Yang paling menarik adalah Glasier Swiss Aletsch, sepanjang kira-kira 20 km dan keluasan lebih kurang 100 km persegi. Di Alp Perancis, glasier terbesar ialah Mer de Glace ("Lautan Ais") berhampiran Puncak Blanc. Glasier yang masih terdapat di Pergunungan Alps hari ini memberikan kita sedikit gambaran mengenai lanskap semasa zaman Ais yang terakhir, lebih 18000 tahun dahulu.

Pada masa itu, semua lembah terisi dengan ais. Berat dan tekanan ais ini begitu besar sehingga memotong tepian batuan, menghasilkan lembah bentuk ‘U’. Apabila iklim menjadi lebih panas dan ais ini mulai cair, tasik terbentuk semasa air yang berlebihan berkumpul di lubang yang dikorek oleh glasier. Tasik yang banyak terbentuk di Pergunungan Alps hari ini mengingatkan kita tentang sejarah glasiernya. Demikian juga timbunan serpihan batuan yang disebut morain, yang diangkut oleh glasier yang perkasa.

Pergunungan adalah tempat yang tidak boleh diramal. Keadaan cuaca sering berubah dengan pantas dan mendadak. Awan rendah boleh menyelaputi lereng gunung tiba-tiba sebagai kabus yang tebal, sementara pengumpulan awan boleh menandakan ribut petir yang akan melanda. Pada altitud tinggi, hujan salji atau hujan batu boleh berlaku. Runtuhan salji, tanah runtuh dan runtuhan batu adalah bahaya lain di pergunungan.

Runtuhan salji paling kerap terjadi pada musim bunga, apabila salji mula mencair. Ini melepaskan salji dengan banyaknya, yang bergolek di lereng gunung, semakin lama semakin laju dan membawa batu dan pokok menuruni cerun. Runtuhan salji boleh mencapai kelajuan 300 km sejam dan pernah mengakibatkan kerosakan yang luas, di samping kematian ramai orang. Dianggarkan kira-kira 20 000 runtuhan salji berlaku setiap tahun di Pergunungan Alps. Iklim Pergunungan Alps bercirikan perbezaan yang amat sangat. Musim sejuk adalah panjang dan sejuk, bermula dari bulan November ke akhir Mac atau April, di lembah. Salji biasanya turun dengan lebat, dan jalan raya pergunungan boleh tersekat selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Pinggir selatan Alps, iaitu Tyrol Selatan di Itali dan Ticino bahagian Switzerland yang bersempadankan Itali, tidak mengalami kesejukan yang teramat ketara pada musim sejuk. Di sini, iklimnya lebih menyerupai iklim Mediterranean.

Ini membolehkan pokok palma dan tumbuh-tumbuhan subtropika hidup. Suhu purata musim panas di sini ialah 240C - musim panas paling panas bagi Pergunungan Alps. Malah iklim Alps selatan yang sederhana pada amnya, membolehkan penduduk mengusahakan ladang anggur di cerun yang cerah. Usaha ini mustahil dilaksanakan di kawasan Alps utara yang lebih sejuk.

Tiupan angin barat membawa udara lembap dan Lautan Atlantik ke Pergunungan Alps. Udara ini memeluwap menjadi awan apabila bertembung dengan gunung, dan jatuh sebagai hujan, terutamanya di pergunungan yang terdedah di pinggir barat dan utara, di Perancis dan Bavaria (Jerman). Lembah lain seperti Valais, di Switzerland, terlindung daripada sebahagian besar hujan oleh permatang pergunungan di barat, dan oleh itu adalah lebih kering.

Pergunungan Alps terkenal dengan ciri angin panas yang mengeringkan, yang bertiup dari utara ke selatan. Angin ini disebut sebagai Föhn (disebut "fern") dan boleh menyebabkan puting beliung sekali sekala di Pergunungan Alps. Angin ini boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada sesetengah orang apabila bertiup.

Cuaca panas yang memanjang pada musim panas sering menyebabkan ribut petir. Tompokan udara panas menyebabkan bertambah banyak awan kumulonimbus, yang terperangkap di celah pergunungan. Ribut petir yang dramatik di Pergunungan Alps adalah sangat menarik untuk disaksikan (dari tempat yang selamat) pada saat sambaran kilat menerangi garis bentuk pergunungan, diikuti oleh hujan ribut yang mencurah-curah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...